PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kita giat mengumpul maklumat bagi mengesan beberapa transaksi pelaburan mencurigakan membabitkan sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, antara negara terbabit termasuk Brazil, Singapura dan Belanda.
Beliau berkata, maklumat transaksi kewangan di luar negara itu penting bagi membantu siasatan pihaknya.
“Kami juga mendapati, dua rakyat Malaysia turut dikesan menjadi proksi dalam pelaburan mencurigakan itu.
“Siasatan terhadap syarikat itu membabitkan pengubahan wang haram, antaranya berkaitan satu pelaburan iaitu kontrak daripada syarikat di Brazil.
“Transaksi disyaki membabitkan syarikat luar pesisir yang dikawal oleh dua orang proksi warganegara Malaysia,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.
Sebelum ini, SPRM mengesahkan sedang menyiasat seorang tokoh perniagaan bergelar ‘Tan Sri’ berhubung kes pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan Sapura Energy Bhd (SEB).
Pada 14 Mac lalu, SPRM telah membuka dua kertas siasatan berhubung dakwaan rasuah dan penyelewengan melibatkan syarikat Sapura Energy.
Tindakan itu diambil selepas SPRM menerima maklumat mengenai pembayaran rasuah dan tuntutan mencurigakan yang dikaitkan dengan syarikat berkenaan.
Siasatan tertumpu kepada kegiatan pengubahan wang haram serta penyelewengan tuntutan sekitar tahun 2018 ketika syarikat itu masih dikenali sebagai Sapura Kencana Petroleum Bhd. – UTUSAN