KUANTAN: Satu pelan induk menyeluruh perlu dirangka bagi menguruskan tanah-tanah simpan kekal yang dirampas daripada penceroboh agar tidak terus terbiar tanpa hala tuju.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tindakan merampas tanah semata-mata tanpa pelan pembangunan jangka panjang bukan sahaja menjejaskan persepsi rakyat, malah menggambarkan kerajaan negeri sebagai tidak mempunyai perancangan.
“Kalau kita hanya sekadar rampas dan biarkan begitu sahaja, rakyat akan lihat kerajaan seolah-olah bertindak zalim. Sebaliknya, apa yang perlu ada ialah pelan tindakan yang berterusan serta hala tuju yang jelas terhadap tanah-tanah tersebut,” katanya selepas Himpunan Penyatuan Ummah Pahang dan Solidariti Palestin yang diadakan di Padang Cenderawasih di sini, malam tadi
Tuan Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, langkah itu penting bagi memastikan nasib tanah simpan kekal terbela, selain mengelakkan sebarang bentuk pencerobohan berulang pada masa depan.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga perlu mengenal pasti jumlah sebenar tanah simpan kekal yang diceroboh di setiap daerah menerusi data rasmi yang lengkap.
“Sehingga kini, kita belum mempunyai data yang benar-benar lengkap. Walaupun ada pihak yang cuba mengumpul maklumat, namun kerajaan memerlukan satu sumber data rasmi yang menyeluruh bagi tujuan perancangan dan tindakan yang berkesan,” katanya.
Beliau turut mencadangkan supaya tanah-tanah yang telah dirampas dibangunkan semula menerusi agensi-agensi kerajaan dengan pendekatan berstrategi supaya hasilnya dapat dimanfaatkan rakyat.
“Sebagai contoh, Pahang cukup sinonim dengan pengeluaran durian Musang King. Namun jika tiada pengurusan yang tersusun, identiti tersebut boleh hilang begitu sahaja. Kita kena jaga nama baik negeri,” katanya. – UTUSAN