BERA: Satu rangka manusia ditemukan dalam keadaan berselerak di kawasan semak berhampiran kawasan berpaya di Felda Bukit Mendi, dekat sini, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintenden Zulkiflee Nazir berkata, pihaknya menerima maklumat awal berhubung penemuan itu menerusi panggilan telefon pada pukul 11.50 malam oleh seorang penduduk tempatan.
Katanya, ia ditemukan seorang lelaki yang sedang melakukan kerja pembersihan semak dan longkang berhampiran kawasan paya dengan meracun rumput sebelum melihat sesuatu yang mencurigakan.
“Pengadu nampak tulang-tulang berselerak dipercayai milik manusia bersama tengkorak serta beberapa helai pakaian. Turut dijumpai ialah seunit telefon bimbit lama yang disyaki milik mangsa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Zulkiflee berkata, siasatan awal mendapati rangka berkenaan ditemukan kira-kira 100 meter dari rumah terbabit dalam kawasan tanah rizab Felda yang berpaya serta dipenuhi semak samun.
Katanya, rangka manusia itu berada dalam keadaan berselerak dan beberapa helaian pakaian seperti baju, seluar serta jaket turut dijumpai di kawasan sekitarnya.
“Identiti rangka berkenaan belum dapat dikenal pasti dan polis masih meneruskan siasatan lanjut,” ujarnya. – UTUSAN