Rang Undang-Undang Jenayah Siber dibentang hujung tahun ini

Rang Undang-Undang Jenayah Siber dibentang hujung tahun ini

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Jenayah Siber dijangka dibentangkan di Parlimen pada penghujung tahun ini bagi memperkukuh sistem perundangan siber negara selaras dengan cabaran jenayah digital yang semakin kompleks.

Ketua Setiausaha Kementerian Digital, Fabian Bigar berkata, RUU itu dirangka bagi menggantikan Akta Jenayah Komputer 1997 yang sudah tidak lagi relevan dengan bentuk jenayah siber moden termasuk serangan berasaskan kecerdasan buatan (AI), kecurian aset maya dan serangan ke atas infrastruktur kritikal negara.

“RUU ini merupakan sebahagian daripada pendekatan strategik Malaysia untuk memperkukuh dasar keselamatan siber negara serta meningkatkan keupayaan penguatkuasaan dalam menangani jenayah rentas sempadan.

“Kita sedang giat melaksanakan sesi libat urus dan bengkel bersama pelbagai pihak berkepentingan untuk memastikan RUU ini komprehensif dan berpandangan ke hadapan,” katanya ketika merasmikan Cyber Games 2025 di sini hari ini.

Fabian berkata, selain merangka kerangka undang-undang yang lebih kukuh bagi memperkasakan usaha memerangi jenayah siber, Malaysia juga telah menerima kelulusan Kabinet untuk menyertai Konvensyen Budapest Mengenai Jenayah Siber bagi dalam menangani kesalahan jenayah siber dan pengumpulan bukti digital.

Beliau berkata, negara turut menunjukkan komitmen untuk menandatangani Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berkaitan jenayah siber yang bakal memberi ruang kerjasama lebih luas dalam siasatan serta pertukaran maklumat rentas sempadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata, RUU baharu itu bakal menekankan perbezaan tahap keseriusan sesuatu jenayah siber sama ada bersifat individu atau melibatkan infrastruktur penting negara.

Katanya, RUU baharu itu akan memperluas takrif jenayah siber merangkumi elemen ideologi, kaedah pencerobohan digital terkini dan teknik serangan canggih yang semakin kompleks.

“Jenayah yang memberi impak kepada infrastruktur kritikal negara (NCIA) akan dikenakan hukuman lebih berat kerana ancamannya jauh lebih besar kepada keselamatan dan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Megat Zuhairy menyifatkan sektor kewangan dan perbankan negara sebagai antara yang paling bersedia dalam menghadapi ancaman siber dengan pelaksanaan pelan mitigasi awal serta pematuhan terhadap standard keselamatan siber negara.

Beliau berkata, Akta Keselamatan Siber yang turut digubal akan mewujudkan garis asas minimum bagi memastikan semua agensi dan sektor bersiap siaga dan mampu bertindak segera apabila berlaku insiden.

“Teknologi bergerak terlalu pantas. Kita tidak boleh kekal bersikap reaktif. Kerjasama dengan Interpol, pihak industri dan akademik adalah penting bagi memastikan kita terus ke hadapan dalam menangani jenayah siber,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN