KAJANG: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menyifatkan siasatan terhadap Perdana Menteri kesembilan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob disifatkan jumlah paling banyak wang tunai dirampas pernah dilihat sepanjang kariernya.
Beliau berkata, selain rampasan dalam siasatan itu, wang tunai bernilai RM53.3 juta dalam skandal Jabatan Air Negeri Sabah pada 2016 turut menjadi yang terbesar sepanjang 42 tahun bersama suruhanjaya itu.
Meskipun tidak menyebut secara langsung siasatan kes Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Azam dalam ucapan perasmian Peluncuran Polisi Integriti Universiti Islam Selangor (UIS) berkata, wang tunai yang dirampas itu adalah terlalu banyak sehingga mewujudkan satu bauan yang digelarnya sebagai ‘bau duit’.
“Duit ini seperti tarikan besi yang boleh membuatkan seseorang hilang sahsiah diri dan sebagainya kerana mereka akan tetap memilih duit jika diberi pilihan.
“Saya masih ingat ketika membuat satu sidang akhbar pada bulan 10 tahun 2016, saya melihat duit yang terlalu banyak diletakkan dalam bilik SPRM Sabah. Jika disitu ada najis, ia juga tidak akan berbau kerana bau yang datang adalah ‘bau duit yang wangi’.
“Yang kedua (terbanyak) adalah kes baru-baru ini membabitkan RM177 juta yang berada di depan mata saya sendiri,” katanya dalam ucapannya ketika merasmikan Peluncuran Polisi Integriti di Universiti Islam Selangor, di sini hari ini.
Dalam ucapan, Azam turut membangkitkan mengenai penyiasatan terpilih seperti yang pernah ditanya wartawan dalam sidang akhbar melibatkan kes Ismail Sabri pada Mac lalu.
“Saya jawab, anda lihat duit (yang ada di atas meja) adakah ini siasatan terpilih,” jelasnya.
Menyentuh mengenai Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) yang bermesyuarat baru-baru ini, Azam mengakui beliau turut disoal oleh ahli jawatankuasa yang dilantik mengenai dakwaan rasuah negara yang sistemik.
“Saya disoal mereka dan saya jawab, rasuah yang terjadi hari ini adalah berpunca daripada hasil terdahulu iaitu membabitkan didikan oleh ahli keluarga kita, sikap sendiri dan di mana kita belajar.
“Dahulu kita mempunyai pemimpin yang berkeinginan untuk membanteras rasuah dan disitulah wujudnya Badan Pencegahan Rasuah (BPR).
“Tetapi selepas ekonomi negara mula rancak dan ramai orang menjadi kaya raya selepas mendapat manfaat daripada ‘share market’, ramai orang mula mengejar kebendaan dan ketika itulah integriti menjadi pilihan kedua dan kita juga mengajar anak-anak kita mengejar kejayaan, kejar duit berbanding mahu meminta mereka manusia yang berguna,” katanya. – UTUSAN