MELAKA: Ramai banduan mula menunjukkan minat untuk menyambung pengajian sama ada di peringkat diploma, ijazah pertama, sarjana atau doktor falsafah.
Setakat ini, terdapat tiga banduan yang sedang belajar di peringkat doktor falsafah, sarjana (sembilan), ijazah sarjana muda (10) dan diploma (200).
Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Keselamatan dan Koreksional), Datuk Ibrisam Abdul Rahman berkata, Jabatan Penjara menggalakkan sumbangan dana daripada sektor korporat, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau yayasan bagi membantu membiayai pengajian para banduan.
Katanya, dana diperuntukkan kerajaan adalah terhad dan tidak mampu menampung kos pembelajaran setiap banduan.
“Bagi banduan yang berkemampuan, sumber kewangan untuk pendidikan mereka dibiayai oleh ahli keluarga. Jika sebaliknya memang kami kena bantu mencari dana-dana yang bersesuaian
“Jika tidak dibantu mereka tidak boleh pergi jauh dan terhenti di peringkat SPM sahaja. Justeru, saya menyeru kepada badan korporat, NGO atau yayasan untuk sama-sama menyumbang dana sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) mereka,” katanya dalam sidang akhbar Majlis Apresiasi Sekolah Integriti Sekolah Henry Gurney (SISHG) 2024 di sini, hari ini.
Tambah Ibrisam, setakat ini Jabatan Penjara telah menjalin kerjasama dengan tiga institusi pengajian tinggi (IPT) iaitu Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Open University Malaysia (OUM) dan Asia College of Exercise Medicine.
“Kolaborasi ini telah lama iaitu sejak 2008 lagi. Daripada segi akademik, banduan dengan pelajar arus perdana tiada beza cuma mereka belajar di kawasan yang terkawal. Kalau diberi peluang mereka juga boleh memahami setiap silibus universiti,” ujarnya. – UTUSAN