Rakyat Palestin terus menderita, 77 tahun tanpa pembelaan

Rakyat Palestin terus menderita, 77 tahun tanpa pembelaan

ORANG ramai yang hadir membawa sepanduk bagi menunjukkan solidariti terhadap rakyat Palestin yang ditindas di jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Genap 77 tahun rakyat Palestin dizalimi sejak tercetusnya peristiwa Nakba pada 1948, namun dunia terus memilih untuk menutup mata terhadap penderitaan yang berlarutan hingga ke hari ini.

Pengerusi Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) Malaysia, Prof. Dr. Mohd Nazari Ismail berkata, dunia sedang menyaksikan pembunuhan paling dahsyat abad ini, namun kuasa besar dunia seperti Amerika Syarikat, Britain dan Jerman masih menyokong Israel melalui bantuan senjata dan teknologi.

“Sejak serangan kejam bermula pada 7 Oktober tahun lalu, lebih 60,000 rakyat Palestin terkorban secara rasmi. Namun jumlah sebenar dijangka mencecah 100,000 termasuk yang tertimbus di bawah runtuhan.

“Memorandum ini dihasilkan untuk mengecam penglibatan Britain dalam permulaan krisis Palestin melalui Deklarasi Balfour 1917 dan dasar Mandat British yang membuka jalan kepada Zionis,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Suruhanjaya Tinggi British di Menara Binjai, di sini hari ini. Turut hadir President, Pertubuhan IKRAM Malaysia, Dr. Badlishah Sham Baharin.

Himpunan aman itu bermula dari Menara Tabung Haji dan disertai kira-kira 3,000 peserta daripada pelbagai latar belakang, termasuk NGO, mahasiswa dan rakyat pelbagai kaum yang berarak membawa sepanduk.

Memorandum yang diserahkan mengecam peranan kerajaan Britain dalam krisis Palestin melalui Deklarasi Balfour 1917 serta kelulusan lesen senjata kepada syarikat yang membekalkan peralatan ketenteraan kepada Israel.

“Wakil mereka beri alasan hanya mengeluarkan lesen, bukan menjual senjata secara langsung. Tapi hakikatnya, lesen itu yang memungkinkan senjata digunakan untuk membunuh rakyat Palestin,” katanya.

BDS Malaysia turut menuntut kerajaan Britain menghentikan sepenuhnya kerjasama ketenteraan dengan Israel serta memohon maaf atas jenayah sejarah yang dilakukan ke atas rakyat Palestin.

Menurut Prof. Nazari, rakyat Malaysia turut digesa memboikot syarikat antarabangsa yang menyumbang secara langsung mahupun tidak langsung kepada operasi ketenteraan Israel.

“Antara syarikat yang perlu kita teliti semula ialah Boeing, British Aerospace, Microsoft dan Google,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ribuan rakyat Malaysia yang hadir ke himpunan kali ini yang disifatkan sebagai antara yang terbesar pernah dianjurkan.

“Alhamdulillah, ini sokongan luar biasa. Ramai hadir dari negeri lain termasuk Kedah, Perak, Johor dan Terengganu. Solidariti rakyat Malaysia hari ini cukup bermakna,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN