PETALING JAYA: Seorang raja dadah warga India yang bersembunyi di sebuah hotel di ibu negara berjaya ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 13 Mei lalu.
Penahanan lelaki berusia 30 tahun itu dilakukan dalam serbuan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) di sebuah bilik hotel pada pukul 1.35 pagi.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain memaklumkan, lelaki berkenaan telah disenaraikan sebagai individu dikehendaki atau penjenayah buruan oleh kerajaan India.
Kata beliau, lelaki itu dipercayai telah berada di negara ini sejak awal tahun ini dengan menggunakan pas sebagai pelancong dan telah dihantar pulang ke India, Selasa lalu.
“Siasatan lanjut dibuat mendapati, lelaki berkenaan tidak mempunyai sebarang penglibatan dalam aktiviti pengedaran dadah di Malaysia.
“Walau bagaimanapun, tindakan lanjut dan risikan sedang giat dilakukan JSJN bagi mengenal pasti sekiranya lelaki tersebut mempunyai rangkaian di negara ini,” katanya.
Beliau menambah, siasatan lanjut turut dibuat bagi mengesan sama ada lelaki itu terlibat dalam kongsi gelap di negara ini.
Terdahulu, The Indian Express melaporkan ketua sindiket dadah antarabangsa ditahan Biro Kawalan Narkotik (NCB) India selepas diekstradisi dari Malaysia.
Naveen Chichkar, 35, seorang penduduk Navi Mumbai dikehendaki dalam beberapa kes berkaitan dadah dan akan dibawa ke mahkamah di Mumbai, Khamis ini.
Notis merah Interpol dikeluarkan yang membawa kepada penahanannya di Malaysia.
Sindiket yang diketuai Chichkar dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan dadah bernilai 1,128 crore (RM635 juta) termasuk kokain dan ganja yang diperoleh dari Amerika Syarikat (AS) melalui penghantaran kargo.
Siasatan bermula selepas satu bungkusan yang mengandungi kokain berjaya dikesan pada Januari, yang membawa kepada rampasan 11.54 kilogram (kg) kokain, 4.9kg ganja dan 5.5kg gula-gula getah ganja di Navi Mumbai.
Siasatan turut mendedahkan penglibatan ejen pelepasan kargo dan pengendali hawala dengan lapan orang ditahan setakat ini.
Chichkar sebelum ini melarikan diri dalam satu kes penyeludupan dan dikesan di Thailand pada 2021 sebelum dijejaki di Malaysia. – UTUSAN