Rais minta PN bukti komitmen untuk tawan Melaka

Rais minta PN bukti komitmen untuk tawan Melaka

RAIS Yasin (tiga dari kiri) menyempurnakan simbolik perasmian WRUR Peringkat DUN Sungai Udang di Kampung Paya Rumput Jaya, Melaka. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Rakyat perlu menilai kemampuan Perikatan Nasional (PN) untuk mentadbir Melaka, sekiranya diberi mandat pada pilihan raya negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tahun depan.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri, Datuk Rais Yasin berkata, tidak seperti kerajaan negeri yang giat bekerja untuk rakyat, PN dilihat hanya ghairah memasang cita-cita politik tanpa membuktikan komitmen sebenar di lapangan.

“Ramai pemimpin mereka lebih selesa menyerang di media sosial tetapi tidak langsung turun menyelesaikan masalah rakyat.

“Sebagai contoh di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang, banyak tohmahan termasuk daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan itu sendiri dilemparkan melalui media sosial, tetapi saya memilih untuk tidak melayan. Sebaliknya, saya turun padang menyelesaikan isu setempat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menghadiri perasmian Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) Peringkat DUN Sungai Udang di Kampung Paya Rumput Jaya di sini, hari ini.

Semalam, Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mendakwa PN memiliki potensi besar untuk meraih sokongan majoriti rakyat Melaka dalam PRN akan datang.

Tambah Rais yang juga Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Melaka, rakyat juga perlu menilai kemampuan PN apabila wakil rakyat mereka gagal membela penduduk di kawasannya.

“BN tidak halang mereka (PN) bercita-cita merampas Melaka. Namun, kita tidak gentar kerana fokus kita adalah kepada kebajikan rakyat, bukan politik 24 jam.

“Kerana itulah WRUR menunjukkan kepada semua bahawa kita tidak berpolitik sepanjang masa kerana keutamaan kita adalah kebajikan serta pembangunan rakyat itu sendiri,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN