PETALING JAYA: Platform TikTok kini menjadi lubuk untuk golongan muda terutama perempuan yang sanggup memperagakan tubuh badan demi memuaskan nafsu dan memenuhi gaya hidup mereka.
Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, mereka akan memuat naik kandungan yang bersifat mengghairahkan atau ‘striptease’.
Dalam erti kata lain, mereka menghasilkan kandungan melalui siaran langsung di TikTok dengan menjualnya melalui langganan bagi memikat lelaki hidung belang serta buaya darat
Akhbar ini dimaklumkan, terdapat pencipta kandungan yang meraih hampir RM40,000 sebulan berdasarkan satu langganan bernilai RM33.50.
Timbalan Dekan Fakulti Pendidikan Universiti Malaya (UM), Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor berkata, trend itu didorong oleh gaya hidup yang terlalu suka bersaing serta keinginan untuk sentiasa mengikut perkembangan terkini, terutama dalam memiliki barangan berjenama seperti beg tangan dan kehidupan mewah.
Menurutnya, tekanan sosial dan desakan untuk kelihatan kaya dalam media sosial menyebabkan individu terlibat sanggup melakukan apa sahaja demi memenuhi kehendak peribadi.
“Bila perkara sebegini dibiarkan tanpa kawalan, ia boleh membawa kepada keruntuhan institusi sosial. Generasi muda menjadi semakin longgar daripada segi nilai moral dan etika sehingga menganggap perbuatan itu sebagai satu kebiasaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah Azmawaty, fenomena berkenaan turut berpunca daripada normalisasi budaya seksualisasi wanita dalam media, yang mana individu berlumba-lumba mencari populariti dan wang mudah tanpa memikirkan kesan jangka masa panjang.
Mengulas daripada sudut perundangan, Pensyarah Kanan Kolej Pengkomputeran, Informatik dan Matematik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Muhammad Khairulnizam Zaini berkata, kes sedemikian sebenarnya sudah tertakluk di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang menyebarkan kandungan tidak senonoh atau menjurus kepada eksploitasi.
“Mereka yang terlibat dengan membuat kandungan-kandungan lucah ini boleh diambil tindakan tegas berdasarkan akta ini,” katanya.
Menurut Khairulnizam, penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan bagi memastikan mereka yang terlibat tidak terlepas daripada tindakan undang-undang.
“Kerajaan perlu lebih tegas dalam mengenakan tindakan kepada mereka yang membuat kandungan lucah ini, bukan seperti melepaskan batuk di tangga,” katanya.
Ujarnya, masyarakat juga perlu memainkan peranan dalam melaporkan sebarang kandungan yang tidak senonoh agar pihak berkuasa dapat bertindak dengan lebih pantas dalam membanteras fenomena ini.
“Sekiranya tiada tindakan yang lebih tegas, trend ini akan terus berkembang dan memberi kesan buruk kepada generasi muda yang semakin terdedah kepada kandungan tidak bermoral ini,” katanya.-UTUSAN