KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen pembangkang mempertikai ketidakhadiran Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli dalam Sidang Khas Parlimen mengenai tarif timbal balik Amerika Syarikat (AS) yang berlangsung pada hari ini.
Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee berkata, dalam isu tarif timbal balik AS terdapat dua kementerian yang penting iaitu Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Ekonomi.
“Tetapi (kita) nampak Kementerian Ekonomi tidak ada di dalam dewan dan dilaporkan bercuti, kenapa dalam keadaan krisis, menteri yang sepatutnya bertanggungjawab kepada sebahagian tarif ini tidak nampak kesungguhan dalam menangani krisis,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Selain daripada Ronald, beberapa pemimpin pembangkang turut mempersoal ketiadaan Ahli Parlimen Pandan itu dalam sidang khas tersebut.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, kerajaan sudah menubuhkan Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“MITI adalah sekretariat dalam NGCC dan Menteri Ekonomi adalah satu anggota tetap, jadi beliau memang terlibat, begitu juga dengan Menteri Kewangan II (Datuk Seri Amir Hamzah Azizan).
“Ini semua termasuk kementerian-kementerian lain yang ada urusan, daripada segi pelaksanaan pula ia melibatkan ahli-ahli Jemaah Menteri dan semua perbincangan di NGCC pada masa ini juga diberikan tumpuan oleh Jemaah Menteri,” katanya.
Sebelum ini, Rafizi yang juga Timbalan Presiden PKR dilaporkan mengambil cuti sehingga 31 Mei ini, malah tindakan beliau itu turut dikaitkan dengan pemilihan partinya.
Bagaimanapun, Anwar meminta semua pihak menghentikan segera spekulasi berkaitan anggota Kabinetnya itu memandangkan Rafizi hanya mengambil cuti selama beberapa hari sahaja. – UTUSAN