Rafizi letak jawatan Menteri Ekonomi

Rafizi letak jawatan Menteri Ekonomi

ANWAR Ibrahim bersalaman dan memeluk Mohd. Rafizi Ramli yang tewas dalam pertandingan jawatan Timbalan Presiden PKR sempena Kongres Nasional Keadilan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli sah meninggalkan Kabinet berkuatkuasa 17 Jun ini selepas gagal mempertahankan jawatannya dalam Pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2025 yang lalu.

Menteri Ekonomi itu berkata, beliau sudah menghantar surat peletakan jawatan daripada Jemaah Menteri kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Bermula dari hari ini, saya akan menghabiskan baki cuti tahunan sehingga 16 Jun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah bekas Timbalan Presiden PKR itu, beliau menyertai politik untuk membudayakan politik baru yang berteraskan kebertanggungjawaban dan mandat rakyat.

“Kekalahan saya dalam Pemilihan PKR baru-baru ini bermakna saya tidak lagi mempunyai mandat daripada parti saya untuk menterjemahkan agenda rakyat yang digagaskan oleh PKR menjadi program kerajaan.

“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitik berat prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang mengambil tempat dalam kerajaan,” jelasnya.

Mohd. Rafizi gagal mempertahankan jawatan nombor dua dalam PKR selepas tewas kepada bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar.

Malah, sebelum pemilihan lagi, Ahli Parlimen Pandan itu sudah pun menyatakan kesediaan untuk berundur daripada Kabinet sekiranya tewas.

Rafizi berkata, amanah terakhir sebagai Menteri Ekonomi sudah disempurnakan dengan penghasilan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang telah dimuktamadkan dan menunggu untuk dibentangkan di Parlimen dalam sidang seterusnya.

“RMK13 telah digubal untuk memberi penekanan kepada reformasi pendidikan yang lebih menyeluruh, termasuk beberapa reformasi struktur yang melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM).

“Saya berharap Jemaah Menteri tetap mengekalkan beberapa reformasi berani yang melibatkan KPM dalam RMK13, walaupun saya tidak lagi berada dalam Jemaah Menteri,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN