Rafizi nafi tulis letak jawatan menteri, bertanding pemilihan PKR

Rafizi nafi tulis letak jawatan menteri, bertanding pemilihan PKR

RAFIZI Ramli berucap pada Jelajah Hiruk di Hotel New York, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Rafizi Ramli menafikan dakwaan kononnya beliau pernah menulis surat peletakan jawatan sebagai menteri dan tidak akan bertanding dalam Pemilihan PKR kali ini, seperti didakwa Nurul Izzah Anwar.

Menurut Rafizi, beliau secara jelas mengumumkan pendirian untuk mempertahankan jawatan atas permintaan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pejabatnya juga masih beroperasi seperti biasa tanpa sebarang tanda dirinya akan berundur.

Malah, beliau turut menafikan bahawa dirinya tidak pernah berkemas untuk mengosongkan pejabat dan mengakui pejabatnya masih kekal bersepah dengan fail-fail hingga ke hari ini.

“Selepas bercuti selama empat hari untuk berjumpa dengan akar umbi, saya kekal menjalankan tugas menteri seperti biasa.

“Jika benar Nurul Izzah bimbangkan kekosongan jawatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail boleh sahaja bertanding sebagai timbalan.

“Nurul Izzah seharusnya menghubungi saya secara langsung seperti yang dilakukannya pada 2021 dan 2022, jika benar ingin mendapatkan kepastian,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Rafizi turut mendedahkan pertemuan terakhir mereka pada 20 Mei lalu, di mana Nurul Izzah dikatakan merayu beliau membantu selepas pemilihan parti kerana bimbang terhadap kepimpinan baharu yang dilihat boleh menggugat parti dan Presiden.

“Ada gambaran beliau menawarkan jawatan kepada saya. Saya nyatakan di awal perjumpaan saya tidak berminat dan akan menghormati keputusan pemilihan.

“Alasan yang diberikan ialah kebimbangan beliau dengan barisan kepimpinan baru yang dilihat bakal menimbulkan masalah kepada Presiden dan parti.

“Secara jelas, beliau berkongsi kebimbangan mengenai niat mereka, rekod mereka, amalan politik mereka dan kesannya kepada parti,” katanya.

Rafizi turut menjawab persoalan mengenai ‘Ada Apa Dengan Hiruk?’ selain menegaskan bahawa dirinya diketahui di dalam dan luar parti sebagai orang yang tidak selesa dengan beberapa kumpulan yang tidak menggambarkan reformasi politik yang dibawa PKR.

“Amalan mereka banyak berkisarkan wang dan keghairahan mereka untuk mendapatkan jawatan bertentangan dengan janji reformasi yang dibawa parti. Saya konsisten menolak mereka.

“Atas alasan ini, saya dituduh ego. Setiap kali ada pemilihan, kumpulan ini bekerjasama untuk menolak calon-calon yang tidak mengamalkan perkara yang sama.

“Saya dituduh memburukkan parti apabila mengkritik amalan-amalan ini secara terbuka. Akhirnya, setelah kumpulan-kumpulan ini diyakini akan membarisi kepimpinan baru PKR, saya juga yang dirayu untuk melawan mereka di dalam parti,” katanya.

Justeru Rafizi berkata, sekiranya, Nurul Izzah bimbang mengenai amalan mereka, Nurul Izzah sepatutnya tidak bersekongkol dengan mereka demi untuk menang jawatan Timbalan Presiden.

“Insya Allah, tanggungjawab itu menjadi tanggungjawab beliau selepas ini. Allah dan rakyat akan menghakimi kita, melangkaui jeritan reformasi kita di dalam kempen. Saya bersyukur saya telah melakukan yang terbaik untuk melepasi ujian kuasa kali pertama ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN