PETALING JAYA: Program bual bicara podcast ‘Yang Bakar Menteri (YBM)’ anjuran Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli kini kembali bersiaran pada Sabtu ini.
Rafizi dalam kenyataan di Facebooknya berkata, program tersebut akan bersiaran pada pukul 9 malam di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Seri Kembangan Selangor.
Menurutnya, program itu yang dihentikan seketika sebelum ini akan bersiaran di tempat umum dan terbuka.
“Saya akan mengambil kesempatan ini untuk memberi penjelasan serta menjawab segala persoalan berkaitan isu dan polemik yang hangat diperkatakan dalam satu dua minggu kebelakangan ini,” katanya hari ini.
Siaran podcast YBM buat pertama kalinya bersiaran pada 8 Januari tahun lalu dan diadakan setiap dua minggu. –UTUSAN