Rafizi diberi surat amaran

Rafizi diberi surat amaran

ZALIHA MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) akan mengeluarkan surat amaran kepada Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli yang mengumumkan senarai penuh ‘cai’ pilihan sebelum pemilihan, esok. 

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa berkata, perkara itu turut disahkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Ahmad Kasim.

Menurutnya, tindakan yang dilakukan Ahli Parlimen Pandan itu secara terbuka bercanggah dengan Garis Panduan Pemilihan 2025 yang telah ditetapkan oleh JPP.

“Kita sudah menegaskan dalam Majlis Perwakilan Pusat (MPP) bahawa JPP akan mengambil tindakan ke atas mana-mana aduan termasuk kempen sendiri. Buat masa ini, JPP akan memberikan amaran keras kepada pihak-pihak yang terbabit.

“Seterusnya aduan ini akan diangkat kepada Jawatankuasa Disiplin dan itu adalah keputusan yang telah dipersetujui MPP,” katanya dalam sesi taklimat media sempena Kongres Nasional PKR 2024/2025 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada di sini, hari ini.

Semalam, Mohd. Rafizi mengumumkan senarai ‘cai’ pilihannya membabitkan beberapa jawatan penting parti itu.

Bagi perebutan empat tempat Naib Presiden, beliau menyenaraikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang; Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad; Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun dan Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, G. Manivanan.

Bagi jawatan MPP, Menteri Ekonomi itu menyenaraikan 25 nama antaranya menggabungkan kalangan wakil rakyat, pemimpin muda termasuk penyandang jawatan berkenaan.

Mereka ialah Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd. Nasir; Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan; Ahli Parlimen Petaling Jaya, Lee Chean Chung; Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh; Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar dan Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan.

Senarai itu termasuk Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah, Razeef Rakimin; Fahmi Zainol, M. Anbarasan, Raiyan Abdul Rahim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rawang, Chua Wei Kiat, Saiful Izham Ramli, Datuk Romli Ishak, Khairul Anuar@Jonah; Ahli Dewan Negara, Bob Manolan Mohamad dan Mohd  Fauzi Abdullah.

Zaliha yang juga Menteri Wilayah berkata, pihaknya telah menurunkan beberapa kain rentang (banner) calon yang diletakkan di kawasan pusat pemilihan.

“Kita telah adakan lawatan di lokasi berlangsungnya kongres, ada beberapa banner dinaikkan di kawasan pengundian dan kita telah minta diturunkan. Calon-calon juga telah diarahkan mengeluarkan banner bahan kempen keluar dari kawasan pengundian,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN