Rafizi akui pernah nyata hasrat letak jawatan menteri, tidak

Rafizi akui pernah nyata hasrat letak jawatan menteri, tidak pertahan timbalan presiden

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Rafizi Ramli mengakui pernah menyatakan hasrat kepada Perdana Menteri untuk melepaskan jawatannya dalam Kabinet dan parti demi memberi tumpuan kepada kempen akar umbi bagi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Dalam pertemuan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Presiden PKR sebanyak dua kali, Rafizi berkata, beliau mengutarakan pandangan bahawa strategi kempen ke arah PRU16 perlu diperkemaskan dengan mengambil kira keadaan semasa rakyat.

Katanya, kebimbangannya banyak berkisar kepada keadaan semasa yang mana kempen kerajaan dilihat terlalu bertahan (defensive) dan tidak menyerang (offensive) seperti rentak semasa menjadi pembangkang.

“Itu kekuatan yang saya ada sebagai seorang ahli politik dan wajar disesuaikan dengan keperluan kempen di masa berbaki dua tahun sebelum PRU16.

“Kedudukan saya sebagai seorang menteri menyebabkan saya terikat dengan konsensus pentadbiran kerajaan dan menyukarkan saya bersuara dengan lebih bebas, seperti sebelum ini.

“Ia menyumbang sedikit sebanyak kepada keadaan kempen PKR yang dilihat tidak agresif,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Rafizi yang memegang portfolio Menteri Ekonomi, perkara sama turut diutarakan kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan menyatakan kesediaan untuk memberi laluan bagi jawatan nombor dua parti.

“Agar saya boleh kembali berkempen secara bebas dan agresif ke arah PRU16 tanpa perlu terikat kepada peraturan Kabinet dan kerajaan.

“Kedua-dua mereka memberi pandangan bahawa ada keperluan untuk saya kekal bertanding timbalan presiden dan menjadi sebahagian daripada Kabinet. Saya nyatakan bahawa saya akan mengambil kira semua pandangan dalam membuat keputusan akhir,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN