Pusat sembelih ayam di Selayang gaji warga asing diserbu

Pusat sembelih ayam di Selayang gaji warga asing diserbu Imigresen, JAIS

SALAH sebuah pusat penyembelihan ayam di Pasar Borong Selayang yang digempur Jabatan Imigresen dan JAIS hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SELAYANG: Pusat penyembelihan ayam di Pasar Borong Selayang di sini yang dipercayai menggajikan pekerja asing secara tidak sah digempur awal pagi tadi.

Serbuan kira-kira pukul 1.45 pagi itu dijalankan Bahagian Perisikan dan Operasi Khas (BPOK) Jabatan Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) ke atas enam pusat penyembelihan.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati, ada antara pusat penyembelihan itu diuruskan dengan tidak teratur dengan kesan darah, najis ayam serta ayam yang selesai disembelih diletakkan atas lantai.

Difahamkan hanya sebuah premis sahaja diuruskan oleh warga tempatan untuk melakukan kerja-kerja penyembelihan manakala premis lain dilakukan pekerja asing.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, pihaknya menjalankan operasi terbabit susulan aduan serta risikan selama tiga minggu.

Katanya, seramai 36 lelaki warga asing berusia 25 hingga 45 tahun yang berperanan sebagai pekerja pusat penyembelihan ditahan.

“Warga asing yang ditahan terdiri daripada 10 warga Bangladesh, Myanmar (25) serta seorang Indonesia yang mana ada antara mereka merupakan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR).

“Ada juga yang melakukan kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959, Akta Pasport 1966 serta Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Tambah Jafri Embok, pemeriksaan di lokasi serbuan hanya menemukan dua pekerja tempatan sebagai penyembelih.

Jelasnya, Jabatan Imigresen turut mengeluarkan notis saman kepada empat lelaki tempatan untuk hadir memberi keterangan.

“Imigresen dan JAIS mengingatkan agar masyarakat tidak melanggar undang-undang negara kerana proses penyembelihan perlu memenuhi syarat jabatan agama agar bekalan halal dan tidak was-was,” ujarnya.

Sementara itu, jurucakap JAIS berkata, pihaknya akan menyiasat pemilik premis mengikut Perintah Perihal Dagangan (Takrif Halal) 2011 di bawah Akta Perihal Dagangan 2011.

Jelasnya, pemeriksaan awal ada menemukan ayam yang mati sebelum disembelih, sekali gus ia tidak mengikut hukum syarak.

“JAIS mewajibkan setiap penyembelih memiliki tauliah menyembelih.

“Tauliah ini hanya dibenarkan untuk warga tempatan sahaja, tetapi sekiranya warga asing hanya mereka yang mempunyai permit kerja sah di bidang ini (penyembelihan) sahaja dibolehkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN