PARIT BUNTAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan merasmikan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah Pertubuhan Peladang Negeri (PPN) Perak di sini yang dibina bagi mengukuhkan industri padi dan beras serta keterjaminan makanan negara.
Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim. Berangkat sama ialah Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah.
Turut hadir ialah Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.
Pusat pengeluaran itu melibatkan peruntukan kerajaan RM12.72 juta dengan kapasiti pengeluaran 5,000 tan metrik benih padi sah setahun dan dijangka beroperasi sepenuhnya pada Mei 2025.
Ketika menyampaikan sembah ucapan, Mohamad Sabu berkata, pusat pengeluaran itu juga mampu menghasilkan kira-kira 250,000 beg Benih Padi Sah (BPS) yang akan memberi manfaat kepada 16,000 pesawah di negeri Perak khususnya dengan keluasan tanaman padi seluas 36,000 hektar.
“Kini kadar penggunaan beras yang bertambah bermaksud pengeluaran padi perlu ditingkatkan dengan keperluan penggunaan benih padi sah yang bermutu oleh pesawah di lapangan.
“Ia bermaksud kita perlu capai sekurang-kurangnya 71 peratus pengeluaran beras berbanding sekarang hanya 56 peratus dengan faktor cuaca yang menyebabkan kekurangan hasil,” katanya.
Kata beliau, pusat pengeluaran itu dilengkapi mesin dan teknologi terkini bagi memastikan kualiti benih padi yang disediakan memenuhi tahap kualiti yang ditetapkan kerajaan.
“Di samping itu, pewujudan Pusat Pengeluaran Benih Padi Sah ini turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat,” katanya.
Katanya, bagi menuhi keperluan pesawah dan melengkapkan rantaian nilai industri padi, terdapat tiga lagi pusat pengeluaran benih padi Sah di bawah institusi Peladang iaitu Pertubuhan Peladang (PPK) Lahar Bubu, Pulau Pinang, Pertubuhan Peladang Negeri Kedah dan Pertubuhan Peladang Negeri Selangor yang masih menanti kelulusan kuota pengeluaran.
Kata beliau, kementeriannya telah merangka empat usaha bertujuan meningkatkan daya saing industri, memperkukuh kebajikan pesawah serta menjamin keterjaminan bekalan beras negara.
Jelasnya, empat komponen itu ialah pengukuhan infrastruktur pengairan di kawasan dalam dan luar jelapang padi negara, pembangunan jelapang padi baharu negara di Sabah dan Sarawak, pembangunan semula sawah-sawah terbiar di seluruh negara dan penstrukturan semula sistem rantaian nilai industri padi dan beras negara. – UTUSAN