Pulau Pinang: Elaun guru KAFA naik RM200 mulai Julai ini

Pulau Pinang: Elaun guru KAFA naik RM200 mulai Julai ini

MOHAMAD Abdul Hamid (kiri) ketika menghadiri Perhimpunan Guru KAFA Pulau Pinang 2025 di Dewan Milenium, Kepala Batas, Pulau Pinang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Semua guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) di Pulau Pinang dijangka menikmati kenaikan elaun bulanan sebanyak RM200 seorang iaitu daripada RM1,300 kepada RM1,500 bermula Julai ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Dr. Mohamad Abdul Hamid berkata, guru besar KAFA juga akan menerima kenaikan elaun yang sama iaitu sebanyak RM250 sebulan daripada RM1,350 sebelum ini kepada jumlah baharu iaitu RM1,600.

Beliau berkata, inisiatif itu adalah sebagai tanda penghargaan kerajaan negeri dan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) terhadap jasa dan sumbangan guru-guru berkenaan dalam mendidik generasi muda dengan asas ilmu Islam.

“Selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk menyalurkan sumbangan khas kepada guru KAFA wanita yang dilantik pada atau selepas 1 Januari 2025.

“Dalam hal ini, mereka (guru KAFA wanita) yang diluluskan cuti bersalin layak menerima sumbangan sebanyak RM1,100 sebulan selama dua bulan,” katanya ketika berucap sempena Perhimpunan Guru KAFA Pulau Pinang 2025 di Dewan Milenium, Kepala Batas, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamad berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan sebanyak RM150,000 bagi tujuan latihan dan peningkatan kecekapan guru KAFA di seluruh negeri.

“Kesemua inisiatif ini melibatkan tambahan perbelanjaan sebanyak RM4.2 juta setahun sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan tahunan untuk KAFA di Pulau Pinang meningkat kepada RM8.5 juta,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, semua premis KAFA di negeri ini akan kembali beroperasi selama lima hari seminggu bermula 1 Julai ini selepas amalan berkenaan terhenti akibat pandemik Covid-19.

“Perkara ini (pengoperasian semula) seiring dengan pelaksanaan Agenda Pembangunan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (APAI2030) yang memberi tumpuan kepada sektor pendidikan menerusi 14 strategi dan 70 pelan tindakan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN