GEORGE TOWN : Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang mengesahkan ada menerima dua laporan berhubung gegaran di beberapa kawasan susulan kejadian gempa bumi berskala sederhana yang berlaku di Utara Sumatera, Indonesia hari ini.
Pengarahnya, Mohamad Shoki Hamzah berkata, laporan itu membabitkan gegaran yang berlaku di Hotel City Bayview di sini serta kawasan Pangsapuri Taman Selatan di Jelutong kira-kira pukul 5.15 petang tadi.
“Hasil pemantauan lanjut yang kita jalankan, kedua-dua lokasi terbabit bagaimanapun berada dalam keadaan selamat dan tidak berlaku sebarang kerosakan pada struktur bangunan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Terdahulu, beberapa kawasan di Pantai Barat Semenanjung Malaysia dilaporkan mengalami gegaran susulan kejadian gempa bumi terbabit.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) dalam kenyataannya berkata, kejadian gempa berukuran magnitud 5.9 itu berlaku pada jarak 107 kilometer (km) dari Meulaboh, Indonesia dengan kedalaman 74 km.
Sementara itu, beberapa lokasi lain di Pulau Pinang khususnya di bahagian pulau dilaporkan turut merasai gegaran tersebut termasuk di Batu Maung, Tanjung Tokong, Sungai Pinang dan Balik Pulau.
Turut terkesan ialah beberapa kawasan di Seberang Perai termasuk di Seberang Jaya, Bertam dan Nibong Tebal.-UTUSAN