Proses pengundian rakyat Malaysia di luar negara dipermudahkan

Proses pengundian rakyat Malaysia di luar negara dipermudahkan

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Proses pengundian untuk rakyat Malaysia di luar negara khususnya pelajar sebelum pilihan raya umum (PRU) akan datang akan dipermudahkan. 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkenaan pernah dibangkitkan sebelum ini kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang merupakan sebuah badan bebas tanpa campur tangan kerajaan.

“Saya telah bangkitkan perkara ini kepada SPR, mengapa kita tidak boleh pastikan setiap warganegara dapat melaksanakan hak mereka walau di mana juga berada,” katanya dalam sesi soal jawab pada majlis makan malam bersama diaspora Malaysia di Moscow, Russia malam tadi.

Beliau menjawab soalan pelajar perubatan tahun akhir, Ahmad Hamizan Hadi Ahmad Hakimi, dari Universiti Perubatan Kursk yang menyatakan dia merupakan antara 345 pelajar Malaysia di universiti berkenaan, tidak dapat mengundi pada PRU lalu berikutan jarak jauh antara kampus dan Kedutaan Malaysia di Moscow.

Menurut Anwar, beliau secara peribadi menyokong usaha untuk memastikan semua rakyat Malaysia dapat melaksanakan hak demokrasi untuk mengundi tanpa mengira lokasi mereka.

Katanya, kemajuan teknologi boleh membantu menjadikan proses pengundian lebih mudah diakses dan selamat, sambil menambah penggunaan pengecaman wajah dan teknologi rantaian blok (blockchain) sebagai contoh bagi mengekalkan integriti sistem.

“Dengan platform canggih yang ada hari ini, proses mesti lebih telus dan kukuh. Teknologi blockchain contohnya, boleh menjejak keseluruhan proses pengundian dari awal hingga akhir dan mengelak penyelewengan,” katanya ketika menjawab Ahmad Hamizan.

Anwar mengakui kebimbangan itu sebagai isu yang perlu diberi perhatian supaya golongan muda Malaysia di luar negara tidak terpinggir daripada proses demokrasi.

“Kita akan pastikan sebelum PRU akan datang, satu proses diwujudkan untuk memudahkan pengundian.

“Jika tidak, berjuta-juta anak muda kita di luar negara boleh hilang hak untuk mengundi. Secara teknikal, mereka masih boleh mengundi dengan pergi ke kedutaan, tetapi proses itu tidak sepatutnya membebankan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN