Proses pengundian Pemilihan PKR lancar, tidak timbul isu teknikal

Proses pengundian Pemilihan PKR lancar, tidak timbul isu teknikal

FAHMI Fadzil (dua dari kanan) bergambar bersama perwakilan wanita PKR yang menghadiri Kongres Wanita Keadilan di Pusat Konvensyen Danga Bay, Johor Bahru.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Proses pengundian fizikal bagi perwakilan pada Kongres Nasional PKR yang berlangsung di Pusat Konvensyen Danga Bay dan Hotel Berjaya Waterfront, di sini berjalan lancar.

Ketua Penerangan PKR, Datuk Fahmi Fadzil berkata, setakat ini tidak timbul sebarang isu teknikal dan gangguan internet dilaporkan di kedua-dua lokasi.

“Saya membuat pemantauan bukan hanya di lokasi Johor, tapi juga di beberapa lokasi lain seperti Kota Kinabalu dan Kuching.

“Setakat ini, tiada masalah, kebanyakan perwakilan menggunakan data internet mereka sendiri. Bagaimanapun, WiFi tetap disediakan di pusat mengundi sebagai sokongan,” katanya ditemui semasa mengunjungi venue Kongres Nasional Tahunan Wanita PKR di Pusat Konvensyen Danga Bay, sebentar tadi.

Selain di Johor Bahru, pengundian fizikal turut diadakan di Pusat Teknologi dan Komersial Antarabangsa di Penampang, Sabah serta Pusat Konvensyen Penview di Kuching, Sarawak.

Beliau juga Menteri Komunikasi berkata, setakat ini pihaknya belum menerima angka rasmi jumlah perwakilan yang telah mengundi.

“Saya jangka akan selesai mengikut waktu, cuma mungkin bagi sesetengah daripada perwakilan, mereka disarankan untuk mengundi mengikut waktu tertentu mengikut negeri untuk mengelakkan kesesakan. Saya akan mengundi pada pukul 12 tengah hari ini,” katanya.

Mengulas mengenai keputusan pemilihan, Ahli Parlimen Lembah Pantai itu berkata, keputusan awal tidak rasmi dijangka diumumkan seawal pukul 9 malam ini.

Katanya, pengumuman rasmi barisan kepimpinan baharu akan dibuat oleh Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) kira-kira pukul 2.30 petang esok.

Pemilihan kali ini menyaksikan seramai 251 calon menawarkan diri bertanding dalam pemilihan PKR peringkat pusat bagi sesi 2025-2028, iaitu merangkumi 104 pencalonan bagi Majlis Pimpinan Pusat (MPP), 85 calon Majlis Pimpinan Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan 62 bagi Majlis Pimpinan Wanita.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN