PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini mengumumkan pelaksanaan Program Repatriasi Migran (PRM) 2.0 yang akan bermula 19 Mei ini sehingga 30 April 2026, khusus untuk Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, PRM 2.0 adalah lanjutan siri pertama yang tamat pada 31 Mac lalu iaitu satu bentuk program pengampunan pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) secara sukarela di mana mereka dikecualikan daripada tindakan pendakwaan dan ditawarkan kompaun.
“Kementerian menyeru semua pihak termaasuk perwakilan asing, majikan dan komuniti warga asing untuk menyebar luas maklumat ini dan menggalakkan penyertaan awal bagi mengelak kesesakan menjelang tarikh akhir,” katanya menerusi sidang akhbar selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Tahun 2024 Jabatan Imigresen (JIM) di Puspanitapuri hari ini.
Saifuddin berkata, bagi program tersebut, kompaun sebanyak RM500 akan dikenakan ke atas PATI bagi kesalahan memasuki dan berada di negara ini tanpa pas yang sah dan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas, manakala RM300 bagi kesalahan melanggar syarat pas.
Katanya, selain itu, pemohon turut dikenakan bayaran pas khas sebanyak RM20 bagi setiap pengeluaran dan kanak-kanak warga asing berusia bawah 18 tahun yang tinggal lebih masa atau dibawa masuk ke negara ini tanpa pas yang sah adalah dikecualikan daripada kompaun, namun mereka perlu membayar pas khas yang sama.
Bagaimanapun, menurut beliau, PRM 2.0 tidak terbuka kepada golongan PATI yang telah mendaftar namun gagal untuk membuat perjalanan keluar menerusi program sebelum ini.
“Mereka yang disenarai hitam JIM dan mempunyai waran tangkap atau dikehendaki oleh pihak berkuasa juga tidak layak.
“Bagi individu dengan status perundangan khas seperti pasangan warganegara yang tinggal lebih masa perlu hadir ke Bahagian Visa, Pas dan Permit untuk tujuan penyelarasan pas,” katanya.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, tahun 2025 telah diisytiharkan sebagai ‘Tahun Penguatkuasaan’ dengan JIM diarahkan untuk mempergiat operasi penguatkuasaan secara besar-besaran di lokasi tumpuan warga asing.
“Operasi ini akan dilaksanakan secara bersepadu bersama agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan pihak berkuasa tempatan serta agensi berkaitan.
“Kementerian juga tidak akan berkompromi dalam usaha membanteras keberadaan PATI secara haram di negara ini, sejajar dengan komitmen untuk memperkukuh kedaulatan undang-undang dan keselamatan negara,” ujarnya.
Tambah Saifuddin, sehingga 13 Mei lalu, JIM telah melaksanakan 5,001 operasi dan memeriksa seramai 66,590 individu.
“Daripada jumlah itu, seramai 34,287 PATI dan 669 majikan telah ditangkap atas pelbagai kesalahan Imigresen,” katanya. – UTUSAN