PUTRAJAYA: Pemberian imunisasi Tdap (tetanus, difteria dan acellular pertussis) untuk ibu mengandung dengan usia kehamilan antara 28-32 minggu mula ditawarkan percuma hari ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, vaksin itu ditawarkan di semua fasiliti kesihatan primer Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara.
Beliau berkata, vaksin ini bertujuan memberi perlindungan awal kepada bayi baru lahir bagi mengelak terdedah kepada komplikasi Pertussis atau Batuk Kokol sebelum melengkapkan jadual vaksinasi.
“Kajian antarabangsa juga telah menunjukkan bahawa vaksin ini selamat dan berkesan, tanpa meningkatkan risiko kepada ibu atau bayi,” katanya pada Sambutan Hari Imunisasi Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.
Katanya, KKM tidak mewajibkan ibu mengandung untuk mengambil vaksin Tdap, namun mereka digalakkan untuk mengambil vaksin itu sebagai perlindungan awal.
Dalam pada itu, Dr Dzulkifli berkata, KKM juga telah mula melaksanakan Program Vaksin Influenza untuk warga emas berumur 60 tahun ke atas yang mempunyai penyakit kronik.
Menurutnya, setakat semalam, seramai 97,355 warga emas menerima vaksin influenza itu di fasiliti KKM sejak dilancarkan 18 Februari lalu.
Sementara itu, katanya, dasar vaksinasi negara sentiasa disemak berdasarkan bukti saintifik dan garis panduan antarabangsa.
Katanya, beliau menegaskan bahawa semua vaksin yang digunakan di Malaysia telah melalui penilaian keberkesanan dan keselamatan yang ketat oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (NPRA) dan terus dipantau secara berterusan oleh KKM.
“Penyebaran berita dan maklumat palsu mengenai vaksin kian membimbangkan dan menjejaskan keyakinan masyarakat. Saya faham ada dalam kalangan ibu bapa di luar sana yang masih ragu-ragu. Saya menyeru kepada semua agar setiasa merujuk kepada sumber rasmi kerana keputusan kita hari ini memberi kesan kepada kesihatan generasi akan datang,” katanya. – UTUSAN