KUALA TERENGGANU: UMNO Terengganu menggerakkan jenteranya ke tujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-17, tidak lama lagi.
Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Rozi Mamat berkata, tujuh DUN tersebut ialah Sulabayan, Senallang dan Bugaya di Parlimen Semporna serta DUN Tungku, Segama, Silam dan Kunak di Parlimen Lahad Datu.
Kata beliau, UMNO negeri menerima mandat daripada Presiden parti itu untuk membantu jentera UMNO Sabah di tujuh DUN yang terletak dalam dua Parlimen tersebut.
Bagaimanapun, kata beliau, pihaknya tidak menetapkan jumlah khusus jentera yang bertugas di PRN Sabah kerana bergantung kepada situasi semasa selepas pembubaran DUN.
“UMNO Terengganu telah bersiap sedia sepenuhnya membantu jentera UMNO Sabah. Kita sudah latih dan susun jentera daripada semua sayap parti termasuk Wanita, Pemuda dan Puteri. Jumlah akhir jentera yang dihantar bergantung kepada kawasan. Jika DUN itu kategori berat, kita tambah jentera. Jika ringan, kita susun ikut keperluan,” katanya sini, hari ini.
Mengulas pertukaran Pengerusi Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Rozi berkata, ia tidak menjejaskan fokus UMNO kerana perkara itu di bawah bidang kuasa kementerian serta tidak wajar dijadikan isu politik.
“Saya tiada komen kerana itu keputusan pihak kementerian. Ia dibuat atas pertimbangan tertentu yang kita sendiri tidak perlu pertikaikan. Bagi saya, apa yang penting adalah kerja membangunkan UMNO. Kita tidak kejar jawatan. Kalau fikir soal jawatan, dari dulu lagi kita dah ‘mengamuk’,” ujarnya.
Baru-baru ini, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Muhd. Khair Razman Mohamed Annuar telah dilantik sebagai Pengerusi Ketengah Sementara menggantikan Datuk Seri Ahmad Said. – UTUSAN