PRN Sabah: BN terbuka jalin kerjasama dengan mana-mana parti

PRN Sabah: BN terbuka jalin kerjasama dengan mana-mana parti – Ahmad Zahid

AHMAD Zahid Hamidi menyampaikan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada Setiausaha Akhbar Md. Fazmel Md. Fadzil pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi KKDW Tahun 2024 di Putrajaya, - UTUSAN/FAIZ ALIF ZUBIR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Barisan Nasional (BN) terbuka menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik dan gabungan parti politik di Sabah bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) itu akan datang.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya telah mengadakan banyak kali perbincangan dengan parti-parti berkenaan dan bukan setakat satu parti sahaja.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pihaknya terbuka untuk mengadakan rundingan dengan mana-mana parti politik lain di Sabah.

“Walaupun kita belum memuktamadkan bentuk gabungan mega (grand coalition) namun, tentunya kita sedang mengeksplorasi beberapa kemungkinan yang saya sebutkan BN-PH++ (bukan setakat BN-PH sahaja).

“Ertinya kita tidak tertakluk kepada satu atau dua sahaja gabungan dan kerjasama dengan pihak lain,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) 2024, di sini hari ini.

Katanya, hakikat yang perlu diketahui bahawa mana-mana parti politik atau gabungan parti-parti politik yang berpengkalan di pusat wajib bekerjasama dengan mana-mana parti politik atau gabungan parti-parti politik di Sabah. 

Jelasnya lagi, kerjasama itu wajib dilakukan kerana kombinasi di antara organisasi politik pusat dan negeri mesti disantuni dan mesti diterjemahkan sebagai satu realiti.

Ditanya sama ada ada tempoh masa tertentu ditetapkan bagi penentuan agihan kerusi bersama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dapat diselesaikan, Ahmad Zahid berkata, beliau tiada jangkaan mengenai perkara itu.

“Namun tentunya sebagaimana disebutkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya kestabilan politik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat diletakkan di buat demi rakyat di negeri itu.

“Jadi kalau ini difikirkan sebagai sesuatu yang baik oleh pemimpin mana-mana pun organisasi politik ianya harus diterjemahkan pelaksanaannya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN