Prasarana , Hitachi Rail perkukuh latihan TVET, lahirkan kepakaran

Prasarana dan Hitachi Rail perkukuh latihan TVET, lahirkan kepakaran

PARA pelatih mendengar taklimat daripada juruteknik pada majlis pertukaran Perjanjian Strategik antara Prasarana dan Hitachi, di Menara Prasarana,Petaling Jaya baru-baru ini. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) terus memperkukuhkan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menerusi program latihan berstruktur yang melatih 1000 pelajar dalam tempoh lima tahun.

Program tersebut yang dijadualkan bermula suku keempat tahun ini meliputi bidang seperti pengoperasian bas elektrik, penyelenggaraan tren dan peserta bakal menerima Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang diiktiraf peringkat kebangsaan.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd Azharuddin Mat Sah berkata, kerjasama tersebut bukan sahaja melibatkan aspek operasi dan penyelenggaraan tren, malah turut memberi fokus kepada pembangunan bakat tempatan demi masa depan industri rel negara.

’’Dengan menyokong agenda TVET negara, kita dapat melahirkan barisan profesional rel tempatan yang bukan sahaja memiliki kemahiran tinggi tetapi juga mampu bersaing di peringkat global,’’ katanya semasa majlis di Menara Prasarana, baru-baru ini.

Usaha tersebut selari dengan Dasar TVET Negara 2030 yang menekankan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi dan berpendapatan lumayan bagi memenuhi keperluan industri masa depan.

Bagi menyokong pelaksanaan program tersebut , Prasarana telah menjalin kerjasama strategik dengan syarikat antarabangsa, Hitachi Rail yang merupakan rakan industri utama dalam pembangunan sistem rel Malaysia sejak 1998.
Selain itu, seramai 29 pelajar telah memulakan latihan industri selama sembilan bulan di bawah bimbingan Hitachi Rail, menjadikan mereka kumpulan pertama yang terlibat dalam inisiatif penambaikan sistem tren negara.

Latihan yang dijadualkan bermula Oktober ini akan merangkumi aspek teori, praktikal serta pensijilan industri dalam bidang operasi eletrik, penyelenggaraan, pengendalian roda dan keselamatan siber.

“Kami berbangga dapat bekerjasama dengan Hitachi Rail dalam program ini, yang turut melibatkan latihan dalam penyelenggaraan bas elektrik dan keselamatan siber,’’ katanya.

Dalam masa yang sama, program protege anjuran Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan berlangsung selama lapan bulan dan terbuka kepada peserta daripada pelbagai latar belakang akademik, termasuk kejuruteraan awam dan sains komputer.

Pengarah Urusan Hitachi Rail bagi perniagaan Urban Rail Signalling, Ziad Rizk menyatakan komitmen syarikat dalam menyokong pembangunan bakat tempatan serta inovasi dalam sektor rel melalui kerjasaam jangka panjang bersama Prasarana.

Beliau menyifatkan inisiatif tersebut sebagai satu langkah strategik dalam memperkukuh kepakaran tempatan.

“Inilah titik permulaan untuk Hitachi Rail menjadi rakan tempatan yang menyumbang kepada pertumbuhan industri rel di Malaysia,’’ katanya.

Tambah Ziad, kerjasama selama tiga dekad dengan Prasarana serta penggunaan teknologi Seltrac™️ telah membantu pempertingkat operasi rel negara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN