PETALING JAYA : Penelitian dilakukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai langkah penambahbaikan bagi memastikan kesejahteraan anggota pasukan ini semasa menjalankan perjalanan secara konvoi.
Ini termasuk penggunaan bas bagi menggantikan trak untuk pergerakan anggota mereka ke lokasi penugasan.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, perbincangan berhubung perkara itu akan diadakan antara kepimpinan tertinggi Bukit Aman dan Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA).
Kata beliau, antara cadangan yang sedang dipertimbang ialah pemasangan sistem keselamatan penumpang yang lebih baik.
Dalam pada itu, Razarudin berkata satu lagi langkah yang akan dibincangkan ialah memasang kamera pemuka dalam trak milik PDRM.
“Isu ini bukan hanya melibatkan pasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) sahaja sebaliknya merangkumi elemen lain di bawah KDNKA seperti Pasukan Gerakan Am (PGA) yang menggunakan trak jenis sama bagi tujuan pengangkutan anggota.
“Pelaksanaan tersebut mungkin berdepan kekangan dari segi kesesuaian, memandangkan trak berkenaan menggunakan tempat duduk panjang,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Kelmarin, dalam kejadian 8.30 pagi, konvoi kenderaan Unit 5 FRU dinaiki 18 anggota dalam perjalanan pulang dari penugasan kawalan awam di Teluk Intan.
Konvoi tujuh kenderaan itu dalam perjalanan ke pangkalan mereka di Sungai Senam, Ipoh sebelum sebuah lori merempuh trak membawa anggota FRU.
Lapan anggota maut di tempat kejadian manakala seorang lagi meninggal dunia di Hospital Teluk Intan dan tiga lagi dalam keadaan kritikal.
Susulan kemalangan itu, pemandu lori berusia 45 tahun yang mempunyai pelbagai rekod lampau ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Menurut Razarudin, penggunaan bas bagi menggantikan trak untuk pergerakan anggota turut dikaji, namun cadangan itu akan melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kerana keperluan penggunaan lebih daripada satu bas bagi setiap operasi.
“Selain itu, kita turut mempertimbang kaedah pengiring konvoi oleh kenderaan peronda lebuh raya dengan penyerahan tugas pengiring kepada kontinjen negeri apabila konvoi merentasi sempadan negeri,” jelasnya.
Dalam pada itu, Razarudin menegaskan isu keselamatan anggota sentiasa menjadi keutamaan pihak polis dan sebarang keputusan akan dibuat selepas perbincangan lanjut bersama KDNKA.
“Kita akan teliti corak pergerakan anggota serta keperluan semasa, sebelum memutuskan langkah terbaik yang boleh dilaksanakan,” jelasnya.
Ditanya mengenai siasatan kes kemalangan itu, beliau berkata, polis Perak sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenalpasti punca. – UTUSAN