KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian ragut di Jalan Masjid Zainal Abidin, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd. Noor berkata, suspek lelaki tempatan berusia 29 tahun berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu ditahan pada pukul 10 pagi.
Menurutnya, lelaki itu disyaki melakukan jenayah ragut ke atas seorang suri rumah berusia 57 tahun berdekatan Bangunan Bazar Maidam, Jalan Masjid Abidin di sini, pada pukul 10 pagi, 7 Mei lalu.
“Pengaduan membuat laporan diragut seorang lelaki yang menaiki sebuah motosikal jenis skuter nombor pendaftatan tidak pasti dan mengalami kerugian sebanyak RM1,500l,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, hasil tangkapan itu, polis merampas beberapa barangan seperti seunit telefon bimbit dan satu keping simkad serta sebuah motosikal jenis Yamaha Advantiz.
Katanya, polis percaya hasil tangkapan itu juga berjaya menyelesaikan satu kes kecurian motosikal, dua kes samun ragut dan satu kes cubaan samun ragut yang berlaku pada bulan ini di sekitar bandar Kuala Terengganu.
“Suspek yang mempunyai tujuh rekod lampau berkaitan dadah dan hasil ujian urine didapati positif dadah jenis morphine,” ujarnya. – UTUSAN