PETALING JAYA : Polis sedang menyiasat penularan video mempromosikan iklan penganjuran perlumbaan basikal lajak yang akan diadakan di Damansara Damai esok.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, pada mulanya satu video telah dikesan tular di aplikasi TikTok pada pukul 4.30 petang semalam.
Kata beliau, video berdurasi 29 saat itu telah memaparkan aksi sekumpulan remaja menunjukkan aksi menunggang basikal lajak di jalanraya berserta maklumat penganjuran perlumbaan itu.
“Satu laporan polis telah dibuat berhubung perkara ini dan kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 18 Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu mengadakan pertandingan melibatkan kenderaan tanpa kebenaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan penganjuran ini untuk menghubungi balai polis berhampiran atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222.
“Pihak polis juga mengingatkan kepada semua pihak agar sentiasa mematuhi undang-undang bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati melanggr undang-undang yang berkuatkuasa,” jelasnya.-UTUSAN