PETALING JAYA: Polis menjalankan siasatan secara menyeluruh berhubung kes kehilangan Datin Seri Pamela Ling Yueh termasuk dakwaan beliau dilarikan oleh pihak polis atau individu yang menyamar sebagai pegawai polis.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya sedia maklum mengenai dakwaan yang menyatakan bahawa Pamela dilarikan oleh individu yang memakai vest bertulis polis namun siasatan lanjut sedang dijalankan.
Katanya, siasatan semasa kejadian juga turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di tempat kejadian.
“Pada masa ini semua maklumat dan keterangan daripada saksi-saksi yang dipanggil termasuk kenyataan daripada pemandu Grab yang membawa Pamela sedang dikumpulkan.
“Kita (PDRM) juga turut masih menyiasat informasi yang menyatakan mangsa dilarikan oleh individu berpakaian seragam atau vest polis.
“Pihak polis masih meneliti sama ada dia dilarikan oleh polis sebenar atau individu yang menyamar sebagai polis,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Baru-baru ini media melaporkan Pamela dilaporkan hilang ketika dalam perjalanan ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pada 9 April lalu dipercayai dilarikan oleh individu yang menyamar sebagai anggota polis. – UTUSAN