LANGKAWI: Polis mengesahkan insiden pelanggaran sebuah bot pasukan keselamatan dengan sebuah bot awam di Perairan Langkawi berhampiran Jeti Teluk Baru, di sini petang ini.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, insiden tersebut dipercayai berlaku pada pukul 4.34 petang.
“Insiden melibatkan sebuah bot pasukan keselamatan yang sedang membuat latihan dinaiki lima pegawai dan anggota serta sebuah bot pelancong yang berlabuh berhampiran pantai.
“Dua personel pasukan keselamatan tersebut telah dirujuk ke hospital untuk rawatan lanjut. Tiada sebarang kecederaan orang awam berlaku dan sehingga kini pihak polis masih belum menerima sebarang laporan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Shariman mengingatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi atau maklumat yang tidak tepat berhubung insiden itu.
“Orang ramai dinasihatkan untuk menunggu kenyataan penuh daripada pasukan keselamatan tersebut untuk maklumat yang lebih tepat,” katanya.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan bot pemintas milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) didakwa hilang kawalan dan melanggar sebuah bot pelancong yang berlabuh berhampiran Jeti Teluk Baru.
Difahamkan, insiden terbabit berlaku ketika sesi latihan segmen maritim oleh TLDM sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25).
Dalam beberapa video yang tular, bot tertera bendera TLDM dilihat tidak dikendalikan oleh jurumudinya sebelum merempuh bot pelancong dan terbabas ke bahagian daratan.
Bagaimanapun, terdapat dua anggota yang berada di sisi kiri dan kanan bot terbabit yang meluncur laju ketika kejadian. Kejadian turut disaksikan sekumpulan orang awam yang berada berhampiran lokasi latihan itu dan turut merakam insiden terbabit. – UTUSAN