PETALING JAYA : Seorang lelaki yang merupakan pemandu sebuah kereta Nissan Navara yang melanggar sebuah motosikal berdekatan Plaza Tol Jalan Duta kelmarin bukanlah pemilik kenderaan pacuan empat roda itu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa berkata, setakat ini pihaknya mengesahkan suspek bukan pemilik kenderaan yang memandu kenderaan itu ketika kejadian sehingga mengakibatkan penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kecederaan.
“Setakat ini kes ini masih dalam siasatan lanjut, pemandu terlibat ketika kejadian bukan pemilik kereta pacuan empat roda terbabit.
“Polis masih menjalankan proses sambung reman ke atas suspek dan kes akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kata beliau, pembonceng motosikal yang dilanggar suspek masih lagi mendapatkan rawatan di Hospital Sungai Buloh.
“Dua mangsa yang terlibat dan mengalami kecederaan, setakat ini salah seorang mangsa iaitu seorang wanita yang merupakan pembonceng masih dalam Unit Rawatan Rapi (ICU),” jelasnya.
Tular video di media sosial semalam seorang individu iaitu pemilik kereta pacuan empat roda yang terlibat dalam kemalangan terbabit tampil mendakwa dirinya bukan pemandu ketika kejadian.
Individu terbabit tampil menjelaskan situasi sebenar berikutan dakwanya terdapat beberapa hantaran yang mendedahkan identitinya di media sosial.
Sebelum itu pasangan suami isteri cedera setelah motosikal dinaiki dirempuh kereta pacuan empat roda berdekatan Plaza Tol Jalan Duta kelmarin.
Susulan itu, pemandu pacuan empat roda terbabit ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN