KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) meminta beberapa saksi termasuk anak kepada Datin Seri Pamela Ling yang berada di Singapura agar tampil memberi keterangan kepada pihak polis bagi membantu siasatan kes penculikan wanita terbabit.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd. Isa berkata, pihaknya setakat ini belum mengambil keterangan individu-individu terbabit.
“Saksi-saksi ini (di Singapura) membabitkan anak-anak beliau (Pamela) serta individu-individu tidak boleh didedahkan.
“Prosesnya mudah, kalau boleh datanglah kepada kita, di Kuala Lumpur dan Johor Bharu, kita boleh ambil (ambil keterangan) di sana. Jika kita ambil di pejabat kedutaan (Kedutaan Malaysia di Singapura) seolah-olah ambil keterangan di negara kita.
“Bagaimanapun, sekiranya saksi gagal memberikan kerjasama, pihak polis terpaksa mendapatkan bantuan pihak berkuasa Singapura. Kita juga boleh hantar pegawai kita di Singapura untuk mendapatkan apa-apa keterangan diperlukan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Ditanya berhubung lakaran wajah suspek dipercayai menculik Pamela, pihaknya setakat berjaya menyiapkan satu lakaran wajah.
Bagaimanapun, katanya, ia tidak dapat membantu siasatan polis kerana kualiti lakaran hanya 40 peratus tepat.
“Jadi kita simpan dulu sekiranya tiada sebarang perkembangan, kita akan siarkan,” katanya.
Selasa lalu, media melaporkan siasatan polis menjurus kepada penglibatan suaminya dan beberapa individu lain, dengan pasukan khas ditubuhkan bagi meneliti semua sudut termasuk motif serta kemungkinan kaitan dengan kes pengubahan wang haram.
Pamela, isteri kepada ahli perniagaan dari Sarawak, dilaporkan hilang selepas menaiki perkhidmatan e-hailing dari Cheras ke pejabat SPRM dengan seorang saksi mendakwa kenderaan dinaikinya dihalang tiga kereta dan kemudian dibawa pergi oleh individu memakai pakaian polis.- UTUSAN