Polis kenal pasti suspek kes simbah asid pemilik spa

Polis kenal pasti suspek kes simbah asid pemilik spa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Polis sudah menjumpai petunjuk sekali gus dipercayai dapat membawa kepada penangkapan suspek yang menyimbah asid ke arah seorang pemilik spa dan salun kecantikan di Beris Kubur Besar, Bachok dekat sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd. Yusoff Mamat berkata,  tangkapan tersebut akan dilakukan dalam masa terdekat.

“Polis sudah menjumpai petunjuk dalam kes ini. Selepas tangkapan suspek dibuat, baru kita tahu motif sebenar kes tersebut. Jadi, kita akan membuat tangkapan terhadap suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mohd. Yusoff berkata, pihaknya sebelum ini sudah memanggil beberapa saksi termasuk individu yang berada di lokasi kejadian untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes tersebut.

Terdahulu, suami kepada pemilik spa dan salun kecantikan yang cedera disimbah asid itu mendakwa, seorang daripada empat suspek menjadikan muka isterinya sebagai sasaran namun gagal dalam kejadian di Beris Kubur Besar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN