GEORGE TOWN : Polis berjaya menggagalkan satu cubaan memproses serta mengedar air ketum dalam satu serbuan di Batu Maung di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, serbuan itu dilakukan di sebuah rumah di situ kira-kira pukul 5 petang tadi selepas menerima maklumat daripada orang awam mengenai kegiatan tersebut.
“Dalam serbuan berkenaan, dua lelaki tempatan yang masing-masing berusia 23 tahun dan tidak bekerja telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Pemeriksaan di lokasi seterusnya membawa kepada penemuan lima tong oren yang mengandungi kira-kira 1,500 bungkus air ketum serta 17 beg plastik hitam berisi daun ketum yang dianggarkan seberat 85 kilogram (kg),” katanya.
Jelas Sazalee, polis turut merampas tiga periuk besar dan tiga tong gas memasak yang dipercayai digunakan dalam proses penyediaan air ketum dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM9,300.-UTUSAN