Polis dedah wujud pihak cuba eksploitasi waris, mangsa nahas FRU - Utusan Malaysia

Polis dedah wujud pihak cuba eksploitasi waris, mangsa nahas FRU

NOOR Hisam Nordin memeriksa perbarisan pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Gerik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik hari ini. - UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GERIK: Polis Perak mendedahkan terdapat cubaan pihak tidak bertanggungjawab untuk mengeksploitasi dan memanipulasi waris-waris anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) yang terlibat dalam kemalangan di Teluk Intan, pada 13 Mei lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, berdasarkan maklumat yang diterima, terdapat waris yang hampir terpedaya dengan pihak yang cuba mengambil kesempatan atas kesedihan dan kekeliruan yang dialami mereka ketika ini.

Katanya, penipuan yang dilaporkan itu melibatkan aspek kewangan dan perundangan.

“Zaman sekarang ramai ‘scammer’ jadi apabila waris-waris ini seperti mana yang dilaporkan dalam berita menerima wang sumbangan dan pampasan di mana nilainya agak tinggi, mereka melihat ia sebagai ruang dan peluang.

“Ada yang menghubungi keluarga mangsa dan menjanjikan sesuatu. Kita pun tidak jangka perkara ini, namun apabila diberitahu oleh waris betullah ia boleh dieksploitasi. Kita nampak ada cubaan untuk menangguk di air keruh,” katanya

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) Gerik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gerik, di sini hari ini.

Pada majlis itu, Noor Hisam menyaksikan serah tugas antara Superintenden Zulkifli Mahmmod kepada timbalannya, Deputi Supritenden Muhammad Firdaus Abdullah yang akan memangku sementara tugas sebagai Ketua Polis Daerah Gerik.

Zulkifli akan memulakan tugas sebagai Timbalan Komander Pasukan Polis Marin (Operasi Risik) Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman dengan memangku pangkat Asisten Komisioner.

Mengulas lanjut Noor Hisam berkata, satu jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau dan melantik peguam yang akan membantu waris dalam urusan berkait kewangan dan perundangan.

Katanya, sebagai langkah mitigasi, mana-mana pihak tidak dibenarkan berurusan dengan waris secara individu sebaliknya sebarang urusan perlu melalui peguam yang dilantik.

“Hampir-hampir (tertipu) ada, hampir turunkan tandatangan tapi cepat tersedar. Jadi kita buat langkah mitigasi dengan lantik peguam. Sasaran mereka adalah bermatlamatkan kewangan.

“Oleh itu, saya nasihatkan kepada semua waris agar tidak terpedaya dengan panggilan telefon atau cubaan-cubaan menipu seperti ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama beliau berkata, tiga anggota FRU yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Teluk Intan kini ditempatkan di wad biasa dan bernafas menggunakan alat bantuan pernafasan.

“Seorang anggota yang dirawat di ICU Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) juga kini berada di wad biasa dan keadaannya dilaporkan stabil.

“Setakat ini, anggota yang cedera masih lagi menerima rawatan dan dalam tempoh cuti sakit,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN