Polis bongkar sindiket simpan 37.8kg dadah bernilai RM6.3j dalam kereta

Polis bongkar sindiket simpan 37.8kg dadah bernilai RM6.3j dalam kereta

HAMZAH Ahmad (tengah) meneliti peket berisi MDMA di IPD Seberang Perai Tengah, Bukit Mertajam, Pulau Pinang.-UTUSAN/SITI NUR MAS ERAH AMRAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Polis berjaya membongkar taktik satu sindiket pengedaran dadah yang menyimpan 37.8 kilogram (kg) dadah jenis MDMA bernilai RM6.3 juta dalam kereta.

Ia susulan penahanan enam lelaki tempatan dalam serbuan dua hari di sekitar George Town, bermula semalam.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, keenam-enam suspek yang juga penganggur berusia antara 33 hingga 41 tahun itu ditahan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang. 

Beliau berkata, sebelum itu salah seorang daripada suspek ditahan kerana disyaki terlibat dengan aktiviti pengedaran dadah dan hasil soal siasat kemudiannya membawa kepada pemeriksaan sebuah kereta yang diparkir di kawasan awam.

“Hasil pemeriksaan lanjut, kami menjumpai dua beg kain mengandungi 532 peket berwarna ungu, lima kotak yang mengandungi 777 peket plastik pelbagai warna yang berisi serbuk MDMA.

“Selain itu, terdapat satu bungkusan plastik mengandungi beg kertas dan plastik bungkusan bagi tujuan pengeposan.

“Susulan tangkapan pertama, lima lagi suspek yang terlibat dalam kes terbabit turut ditahan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Tengah di sini, hari ini.

Tambah Hamzah, sebanyak tujuh buah kereta disita bersama barang kemas bernilai RM1,500 dan wang tunai berjumlah RM2,550 menjadikan nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta mencecah RM6.6 juta.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati, seorang daripada suspek positif dadah jenis Benzo menakala empat lagi positif dadah jenis ketamin. 

“Semakan rekod lampau pula mendapati, satu daripada tangkapan tersebut mempunyai 16 rekod jenayah berkaitan kes curi dan empat lagi ada rekod kesalahan jenayah dan dadah,” katanya.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan sindiket terbabit memiliki kaitan susulan penangkapan seorang lelaki bersama beberapa jenis dadah termasuk MDMA bernilai RM2.1 juta pada minggu lalu, namun, siasatan lanjut masih dijalankan.

Jelas Hamzah, kesemua suspek yang merupakan penganggur itu kini reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Mei untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN