PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) belum menerima permohonan rasmi daripada Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz untuk menyertai parti itu, selepas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu mengumumkan keluar UMNO semalam.
Setiausaha Agung PKR, Dr. Fuziah Salleh berkata, semua permohonan keanggotaan parti dilakukan melalui kaedah memohon secara dalam talian.
Katanya, setiap permohonan akan melalui proses biasa, di mana selepas dibuat secara dalam talian, ia diproses dan dibentangkan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP).
“Permohonan tersebut akan dipertimbangkan sewajarnya sebelum keputusan dibuat dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang, termasuk pandangan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta pendapat akar umbi.
“Sementara itu, saya juga dimaklumkan Tengku Zafrul akan menunaikan ibadah haji. PKR mendoakan agar beliau selamat pergi dan kembali serta memperoleh haji yang mabrur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Semalam, Tengku Zafrul berkata, telah menghantar surat peletakan jawatan kepada pucuk pimpinan UMNO untuk menyertai PKR.
Beliau yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO dan Ketua UMNO Bahagian Kota Raja berkata, keputusan itu dibuat setelah meminta nasihat dan pandangan dari dalam dan luar parti termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Pada masa yang sama, beliau turut menyatakan hasrat dan niat untuk menyertai PKR.
Bagaimanapun, UMNO menyifatkan amat tidak wajar bagi mana-mana parti dalam Kerajaan Perpaduan untuk menerima keahlian parti lain sewenang-wenangnya.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pihaknya memandang serius niat peletakan jawatan Tengku Zafrul kerana ingin menyertai PKR.
“Ini bagi mengelakkan berlakunya ketidakharmonian di kalangan parti-parti dalam gabungan Kerajaan Perpaduan hingga tercetus pula prejudis dan prasangka berterusan mengenai tahap kesetiakawanan, keikhlasan dan kejujuran sesama sendiri di kalangan ahli akar umbi,” katanya. – UTUSAN