JERANTUT: Seorang guru mempunyai pendekatan tersendiri untuk memikat anak didik daripada kalangan Orang Asli etnik Jahut supaya meminati subjek sains di Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Kiol di sini dengan memberi hadiah.
Noriah Pandak, 45, yang berketurunan Orang Asli etnik Jakun berkata, beliau sudah 15 tahun mengajar di situ dan ternyata banyak perubahan sikap mereka terhadap mata pelajaran tersebut.
“Ketika mula ditempatkan mengajar di sini 15 tahun lalu, saya dapati sebilangan kecil murid tahap dua masih bersikap dingin terhadap mata pelajaran ini dan kebanyakannya terkebil-kebil apabila disebut isi kandungannya.
“Tetapi dengan berkat bantuan guru besar dan rakan guru lain apabila kerap memberikan motivasi dan pendekatan pembelajaran yang menarik, akhirnya dari setahun ke setahun banyak berlaku perubahan khususnya sikap mereka ingin belajar sains,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Noriah, selain motivasi pembelajaran, beliau kerap mengeluarkan wang saku sendiri berbelanja pelbagai jenis hadiah dan bantuan kebajikan, walaupun hanya sebatang pensel untuk kemudahan serta galakan kepada murid-murid.
“Boleh dikatakan setiap kali pembelajaran sains, ada sahaja hadiah berbentuk makanan, buku dan peralatan tulis yang saya bawa untuk menarik murid minat belajar sains dan hadir ke sekolah.
“Saya juga menyediakan peralatan pembelajaran yang boleh menarik minat murid dengan mengkaji serta meneroka pengetahuan berkaitan isi mata pelajaran ini,” katanya.
Noriah merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Antarabangsa UNITAR sebelum mengikuti Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) kerana minatnya sejak kecil untuk menjadi guru.
“Bermulalah karier saya sebagai seorang guru setelah menjalani latihan KPLI pada 2001 dan mula ditempatkan bertugas di SK Sungai Mok, Rompin dengan diberi tanggungjawab mengajarkan mata pelajaran sains kepada murid Orang Asli etnik Jakun di sana.
“Selama tiga tahun di SK Sungai Mok, saya bertukar ke SK Sungai Kiol mulai Januari 2010 sehingga kini kerana mengikut suami bertugas di sebuah jabatan kerajaan di bandar Jerantut dan juga diberi tanggungjawab mengajar mata pelajaran sama,” katanya.
Menurutnya, semasa mengikuti KPLI, dia begitu berharap dapat bertugas di sekolah Orang Asli di Pahang dan ternyata cita-cita itu tercapai. – UTUSAN