PETALING JAYA: Pakatan Harapan (PH) Sabah menyatakan kesediaan untuk memupuk perpaduan dan menjalinkan kerjasama dengan parti-parti lain demi kepentingan rakyat dan masa depan negeri Sabah.
PH Sabah menerusi kenyataan berkata, segala bentuk kerjasama politik yang bakal diwujudkan harus berpandukan kepada dasar dan polisi yang mengutamakan pembangunan serta kebajikan rakyat.
Katanya, PH dan Barisan Nasional (BN) merupakan gabungan tunjang kepada Kerajaan Persekutuan hari ini bersama Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti yang lain.
“Ia rasional untuk kedua-dua gabungan ini bekerjasama dalam pilihanraya termasuk terbuka untuk perbincangan dengan parti-parti lain yang mendukung perpaduan dan kerjasama dalam membangunkan Persekutuan Malaysia.
“PH Sabah yakin kestabilan politik di Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sabah serta hubungan Persekutuan-Negeri yang harmoni dan baik perlu dikekalkan dan diperkasakan bagi memastikan aspirasi penubuhan Persekutuan Malaysia dan masa depan rakyat Sabah dapat dijayakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, PH dan BN mencapai kata sepakat untuk bekerjasama bagi menghadapi PRN Sabah.
Menurut kenyataan bersama Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, perkara itu dicapai hasil mesyuarat kepemimpinan tertinggi antara Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berlangsung semalam.
Sementara itu, Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak menyifatkan kerjasama tersebut sebagai langkah penting ke arah kestabilan politik di Sabah.
“Kesepakatan antara BN dan PH ini membuka ruang kepada rundingan yang lebih inklusif dengan parti-parti tempatan.
“Kerjasama ini mestilah berasaskan keikhlasan, calon yang berwibawa dan dasar-dasar yang membela rakyat. Sabah perlukan kestabilan, dan semua pihak perlu bersatu demi masa depan negeri,” katanya. – UTUSAN