Pesawat TUDM terlibat insiden ketika mendarat di LTSAH

Pesawat TUDM terlibat insiden ketika mendarat di LTSAH

PESAWAT milik TUDM yang dipercayai tergelincir ketika mendarat dalam sesi latihan sempena LIMA’25 di LTSAH, Alor Setar hari ini. - UTUSAN/SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Sebuah pesawat pejuang milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dipercayai tergelincir ketika mendarat di Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), di sini petang ini.

Insiden kira-kira pukul 5 petang itu berlaku ketika pesawat tersebut menjalani latihan sempena Pameran Antarabangsa Maritim dan Aeroangkasa Langkawi 2025 (LIMA’25) di Langkawi pada 20 hingga 24 Mei ini.

Kejadian terbabit disaksikan orang ramai yang berada di sekitar pagar lapangan terbang tersebut untuk menyaksikan sesi latihan pesawat-pesawat milik TUDM.

Video insiden itu yang turut tular di media sosial memaparkan pesawat mengalami masalah dipercayai berkaitan gear pendaratan sebelum ‘tersungkur’ di landasan.

Sementara itu, menurut Malaysia Airports, pesawat milik TUDM itu terlibat dalam insiden tersebut kira-kira pukul 5 petang tadi.

“Akibat kejadian itu, landasan ditutup sementara bagi membolehkan kerja-kerja pemindahan pesawat dan pembersihan dijalankan. Penutupan ini dijangka berlanjutan sehingga pukul 10:30 malam ini,” katanya.

Tambah kenyataan itu, pihak berkuasa telah mengeluarkan Notis kepada Juruterbang (Notam) untuk memaklumkan mengenai penutupan itu.

“Semua operasi penerbangan di LTSAH terjejas sepanjang tempoh ini termasuk penerbangan haji,” katanya.

Tambahnya, semua penumpang termasuk jemaah haji dinasihatkan untuk menghubungi syarikat penerbangan masing-masing atau Lembaga Tabung Haji bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai jadual penerbangan. 

“Pihak lapangan terbang akan memberikan maklumat lanjut sebaik sahaja landasan disahkan selamat dan dibuka semula oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) hari ini,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya