SEPANG: Seorang pesara polis dan dua yang lain ditahan bagi membantu siasatan berhubung penemuan pelbagai peralatan dan kelengkapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Cyberjaya, 25 Mei lalu.
Dalam rondaan polis di Lakefront Residence, Cyberjaya itu, anggota dari Balai Polis Cyberjaya mengesan tiga lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan sedang memasukkan barang ke dalam sebuah kereta.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, pemeriksaan lanjut menemui pelbagai peralatan PDRM, termasuk senjata tiruan pelbagai jenis.
Beliau berkata, siasatan mendapati, pesara polis dan dua lelaki berusia antara 29 hingga 64 tahun itu adalah kru bebas produksi filem bagi drama dan filem bertemakan kepolisan.
“Kami dapati mereka bukan anggota polis daripada mana-mana balai ataupun Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan mengakui melakukan penggambaran.
“Bagaimanapun, pemeriksaan mendapati mereka tidak mempunyai sebarang kelulusan daripada pihak polis untuk berbuat (penggambaran filem dan drama) demikian,” katanya dalam sidang akhbar di sini, hari ini.
Katanya, kesemua mereka ditahan reman selama dua hari berakhir hari ini bagi membantu siasatan.
Hussein berkata, memiliki peralatan dan kelengkapan polis termasuk senjata yang menyerupai senjata sebenar adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.
Menurutnya, antara peralatan dirampas termasuk dua kon polis, dua unit lampu bacon magnet bertulis polis, tiga pasang kasut operasi polis, enam helai vest polis, dua senjata menyerupai HK MP5, dua senjata mainan menyerupai M416 dan enam topi polis trafik.
“Kami memandang serius penggunaan peralatan, pakaian seragam, serta aset PDRM tanpa kelulusan rasmi, khususnya dalam produksi filem dan drama. Mana-mana pihak yang ingin melibatkan elemen kepolisan dalam penggambaran diwajibkan untuk mendapatkan kebenaran daripada Bahagian Komunikasi Korporat Bukit Aman.
“Kegagalan berbuat demikian bukan sahaja boleh mengundang tindakan undang-undang tetapi juga berisiko menjejaskan kredibiliti institusi keselamatan negara,” katanya. – UTUSAN