Pesara murung tertipu pakej umrah di TikTok

Pesara murung tertipu pakej umrah di TikTok

NUR Zamilah (kiri) bersama adik beradiknya selepas sidang media di Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Jalan Tun Razak hari ini. UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Seorang pesara kerajaan murung selepas wang simpanan persaraan sebanyak RM33,000 untuk menunaikan ibadah umrah bersama keluarga lesap dipercayai ditipu sebuah agensi pelancongan tempatan.

Mangsa, Nur Zamilah Buang, 58, berkata, kejadian itu bukan sahaja menyebabkan dia mengalami tekanan perasaan, malah lebih mengecewakan apabila 18 ahli keluarganya turut menjadi mangsa, menjadikan jumlah kerugian keseluruhan mencecah RM89,000.

Menurutnya, sejak ditimpa musibah itu, dia tidak bercakap dengan suaminya selama empat hari akibat terlalu tertekan dan kecewa.

“Saya dan suami baru sahaja bersara tahun lepas. Kami berjimat sejak sekian lama demi ibadah ini. Saya masak di rumah, tidak makan luar, catu setiap perbelanjaan.

“Bila tahu ditipu, saya tidak bercakap dengan suami selama empat hari. Suami pula termenung, kami langsung tidak lalu makan,” katanya kepada Utusan Malaysia selepas sidang akhbar bersama Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di sini, hari ini.

Zamilah turut mempersoal tindakan pihak berkuasa yang sekadar merujuk kes itu ke agensi lain, sedangkan penipuan jelas berlaku dan pelaku sepatutnya diheret ke muka pengadilan kerana menyalahgunakan wang atas nama agama.

“Sepatutnya kami bertolak ke Tanah Suci pada 25 Februari lalu, tetapi agensi memberi alasan penerbangan ditunda tanpa sebab yang kukuh serta gagal memaklumkan tarikh baharu.

“Sehingga kini, mereka masih tidak dapat dihubungi. Saya sangat kecewa kerana niat kami adalah suci untuk menunaikan umrah, tetapi akhirnya ditipu,” katanya.

Tambahnya, pakej umrah terbabit diperoleh melalui aplikasi TikTok dan dipercayai sah kerana syarikat berkenaan didaftarkan dengan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).

Dalam pada itu, seorang lagi mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Sulaiman turut menanggung kerugian RM21,500 selepas membuat bayaran penuh untuk menunaikan Umrah bersama ahli keluargnya.

Menurut Sulaiman, jadual penerbangan sepatutnya berlepas pada 24 Februari lalu namun syarikat tersebut menangguhkan tarikh keberangkatan tanpa sebarang alasan kukuh sebelum akhirnya menyepi.

“Isteri saya tahu tentang pakej ini melalui TikTok, nampak macam meyakinkan sebab ada duta artis terkenal dan harga pula murah. Tetapi akhirnya kami tertipu,” katanya.

Difahamkan, keseluruhan mangsa seramai 90 mangsa tampil membuat aduan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) selepas mengalami kerugian mencecah RM506,559.10.

Kesemua mangsa mempercayai mereka telah diperdaya oleh agensi pelancongan yang menawarkan pakej Umrah berharga serendah RM6,500 melalui platform media sosial menggunakan ejen pemasaran dan selebriti terkenal.

Mangsa mendakwa selepas membuat bayaran, mereka diberikan jadual penerbangan, namun sebaik tiba tarikh tersebut, penerbangan ditunda berulang kali sebelum pihak syarikat hilang tanpa khabar berita.

Sebanyak 30 ketua keluarga telah membuat laporan polis di beberapa balai, namun ada antaranya diklasifikasikan sebagai ‘Rujuk Lain Agensi’ (RLA) dan disalurkan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), yang hanya berkuasa membatalkan lesen syarikat.

Mengulas perkara itu, Setiausaha Agung MHO, Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya kesal apabila sesetengah balai tidak mengklasifikasikan kes sebagai penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan walaupun wujud unsur jenayah.

“Jika sekadar dibatalkan lesen, bagaimana dengan wang mangsa yang lesap? Ini isu sensitif kerana melibatkan ibadah. Sepatutnya kes ini dirujuk sebagai ‘Refer Other Report’ (ROR) atau diklasifikasikan sebagai penipuan,” katanya.

Tambah beliau, pelaku utama pernah menyatakan hasrat mahu memulangkan wang jemaah namun sehingga kini tiada tindakan lanjut diambil manakala syarikat tersebut memilih untuk berdiam diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN