Pesakit kanser usus tahap tiga teringin dukung anak bongsu

Pesakit kanser usus tahap tiga teringin dukung anak bongsu

MOHD. Amin Nor Mokhtar bersama Nurul Aida Abdul dan lima anak mereka ketika ditemui di Kampung Kurnia Diraja, Tampin, Negeri Sembilan. – UTUSAN/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: “Saya masih belum dapat mendukung anak bongsu kami, perut saya terlalu sakit,” luah pesakit kanser usus tahap tiga, Mohd. Amin Nor Mokhtar, 34.

Mohd. Amin baharu menimang cahaya mata kelima, namun tidak mampu memeluk bayi perempuannya kerana kini bertarung nyawa dengan pe­nyakit itu.

Sebelum ini, dia menjadi tonggak keluarga mencari rezeki dengan bekerja sebagai pemandu jentera berat.

Kini, Mohd. Amin hanya mampu terbaring lemah di rumahnya di Kampung Kurnia Diraja di sini, selepas disahkan menghidap penyakit tersebut awal tahun ini.

Lebih memilukan, ketika di­sahkan menghidap kanser, isteri­nya, Nurul Aida Abdul, 35, sedang sarat mengandung tujuh bulan.

Hanya beberapa minggu selepas melahirkan, Nurul Aida yang masih dalam tempoh berpantang perlu mengambil alih segala urusan rumah tangga termasuk menjaga empat anak lain berusia antara empat hingga 11 tahun.

“Suami mula-mula cuma sakit perut, kami sangka gastrik biasa, tetapi makin lama makin teruk, demam, kencing berdarah. Akhir­nya apabila pergi hospital, doktor sahkan usus sudah bocor dan kanser sudah tahap tiga.

“Sekarang saya belum sembuh sepenuhnya kerana bersalin, tetapi terpaksa kuat, kena jaga suami, jaga anak-anak,” kata Nurul Aida ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mohd. Amin yang kini menggunakan beg stoma bergantung kepada susu khas sebagai makanan dan turut mengalami penyusutan berat badan daripada 60 kilogram (kg) kepada sekitar 40kg.

Katanya, bantuan bulanan Ja­batan Kebajikan Masyarakat (JKM) bernilai RM900 digunakan untuk membeli keperluan seperti susu, lampin dan peralatan perubatan asas manakala selebihnya ditampung oleh keluarga dan rakan-rakan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Simpanan Nasional (BSN) 0540041100004812 atas nama Nurul Aida Abdul. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN