UMUM tahu, senaman kardio mampu membantu seseorang itu mengekalkan kesihatan dan meningkatkan kecerdasan tubuh badan. Malah, ia juga memerlukan disiplin yang tinggi jika mahu memiliki berat badan yang ideal.
Itu jugalah rutin yang dilakukan oleh pelakon jelita, Nadia Brian secara konsisten demi mengekalkan kesihatan tubuh badan di samping menjaga bentuk badannya yang kini menjadi dambaan para wanita.
Tidak berselindung, pemilik nama penuh Nadia Najwa Mohamed Rashidi itu mengakui dia pernah memiliki bentuk badan yang ‘berisi’ sekali gus menjadi punca dirinya mula mengamalkan senaman kardio.
“Sekarang ini saya minat buat senaman kardio. Saya memang suka bersenam sejak dulu lagi. Sewaktu saya belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM), berat badan saya pernah mencecah saiz XL.
“Selepas bersenam, saya berjaya turun 20 kilogram. Sekarang, bila sudah kurus saya tetap amalkannya bukan kerana mahu kurus tetapi ia menjadikan tubuh badan saya lebih sihat dan bertenaga,” katanya kepada Pancaindera.
Tambah Nadia, antara faktor yang mendorongnya untuk mengekalkan gaya hidup sihat dengan bersenam kerana menyedari peningkatan peratusan masalah obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Antara yang memberikan kesedaran kepada saya untuk bersenam adalah apabila terbaca mengenai peratusan obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia sangat tinggi.
“Bukan itu sahaja, ramai juga menghidap penyakit kencing manis, darah tinggi dan sakit jantung. Semua itu berpunca daripada gaya hidup kita di sini.
“Di Malaysia ini terkenal dengan pelbagai variasi makanan. Ada juga kedai makan yang buka selama 24 jam di mana perkara itu mendorong seseorang itu tidak menjaga waktu pemakanan mereka.
“Perkara itu secara tidak langsung boleh mendatangkan kesan yang tidak baik terhadap kesihatan. Disebabkan itu jugalah saya jadikan bersenam sebagai hobi saya supaya dapat mengeluarkan peluh,” jelasnya.
Bukan itu sahaja, pelakon yang berusia 34 tahun itu turut mengakui dirinya pernah menjadi mangsa ‘body-shaming’ sebelum nekad untuk memiliki berat dan bentuk badan yang ideal. Namun, Nadia mengambil kritikan tersebut untuk membakar semangatnya supaya lebih berdisiplin untuk bersenam.
“Kita memang tidak boleh lari daripada ‘body-shaming’ atau ejekan orang sekeliling. Sebelum saya masuk ke dalam industri pun ada sesetengah pihak yang meminta saya untuk kuruskan badan supaya ada pakej yang lengkap dari segi bakat dan rupa.
“Perkara itu membakar semangat saya biarpun pada awalnya saya sedih. Tetapi saya tidak ambil hati dan teruskan perbaiki diri. Pada saya, mereka yang suka ‘body-shaming’ itu masih dalam pemikiran lama. Sekarang, orang yang terlampau kurus pun dikritik,” katanya.
Dalam masa sama, pelakon drama Sekam Di Dada itu menyifatkan hobi bersenam ini selari dengan kerjayanya sebagai pelakon yang adakalanya terikat dengan jadual kerja yang padat.
“Senaman adalah aktiviti yang paling mudah kerana kita tidak semestinya perlu pergi ke gim. Kadang-kadang saya hanya jogging, skipping dan berlari di atas treadmill di rumah.
“Lagipun, saya sibuk dengan penggambaran dan sebagainya jadi hobi ini seiring dengan kehidupan saya. Dan saya wajib amalkan senaman itu untuk mengeluarkan peluh demi kesihatan yang lebih baik,” ujarnya.
Tambah Nadia, kehadiran sosial media seperti TikTok, YouTube dan Instagram sangat membantu seseorang itu untuk mendapatkan tips dan tutorial berkaitan senaman yang ingin dilakukan.
“Sekarang ini di media sosial banyak sangat konten mengenai gaya hidup dan ‘workout’. Saya sarankan sebelum memulakan sebarang senaman, buat kajian terlebih dahulu senaman yang sesuai dengan tubuh kita. “
Kalau tidak boleh ikut, mulakan dengan langkah yang paling mudah. Jangan sampai mencederakan diri sendiri,” jelasnya.