KANGAR: Perlis akan mengharamkan penjualan vape atau rokok elektronik di negeri ini berkuatkuasa 1 Ogos depan.
Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, penetapan tersebut dibuat berdasarkan kepada keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis yang mengharamkan penggunaan vape pada tahun 2022.
Beliau berkata, selain itu, langkah berkenaan juga diambil berikutan vape kini dilihat sebagai ancaman baharu khususnya buat golongan muda di negeri.
“Walaupun kita tak mampu kekang penggunaan vape sepenuhnya, namun sekurangnya kita ada tindakan untuk selamatkan anak muda,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Sebagai rekod, bagi tempoh enam bulan, terdapat dua kes melibatkan penggunaan vape dalam kalangan pelajar dilaporkan di negeri ini di mana pada November tahun lalu, seorang pelajar tingkatan dua sebuah sekolah di sini cedera selepas terjatuh dari bumbung sekolah dipercayai akibat khayal selepas menghisap rokok elektronik tersebut.
Terbaharu pada April lalu, seorang pelajar tingkatan tiga sebuah sekolah di negeri ini turut diserang sawan selepas dipercayai menghisap vape di tandas sekolah terlibat.
Sebelum ini, Johor menjadi negeri pertama mengharamkan penjualan vape sepenuhnya sejak 2016, diikuti Kelantan dan Terengganu yang turut melaksanakan larangan serupa atas dasar kesihatan dan prinsip agama.
Melaka pula dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk mengenakan larangan penjualan vape di kawasan tertentu manakala Selangor mengkaji pendekatan kawalan ketat menerusi pihak berkuasa tempatan.
Sementara itu, Mohd. Shukri berkata, semua peniaga dan pengusaha vape di negeri ini diharap dapat bersiap sedia mencari perniagaan baharu selepas ini.
“Ini berikutan Majlis Perbandaran Kangar (MPK) tidak akan lagi mengeluarkan lesen perniagaan bagi penjualan vape selepas 1 Ogos ini kepada pihak terlibat. Dianggarkan terdapat kurang dari 50 pengusaha vape yang beroperasi di negeri ini,” katanya.
Tambahnya, kerajaan negeri juga berharap kerajaan Persekutuan dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap isu ini khususnya melibatkan penjualan vape secara dalam talian. – UTUSAN