KUALA LUMPUR: Usaha memperkasa industri batik tempatan diteruskan, kali ini ke peringkat global menerusi pertandingan ratu cantik antarabangsa Miss & Mrs Majestic International 2025.
Menurut pengasas dan penganjur pertanding, Huda Hasan, dalam program tersebut, setiap peserta akan menerima sepasang busana batik eksklusif dan menjadikan mereka Duta Batik Malaysia di negara masing-masing.
“Pertandingan ini dianjurkan berlandaskan objektif utama seperti meraikan kepelbagaian budaya antarabangsa menerusi platform kecantikan, gaya dan keanggunan. Malah, pertandingan ini lebih daripada sekadar menobatkan ratu, tetapi ia adalah gerakan budaya dan ekspresi keyakinan wanita,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Turut serta dalam kolaborasi strategik ialah Hoverland dan Hard Rock GentingMalaysia, lokasi eksklusif tertinggi di rantau Asia Pasifik, bagi pertunjukan batik dan sesi media tempatan dan antarabangsa.
Pertandingan ratu cantik antarabangsa Miss & Mrs Majestic International 2025 ini akan diadakan pada 7 Ogos hingga 10 Ogos di Wyndham Ion Majestic Hotel Genting dimana jelas Huda, pertandingan ini dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan, fesyen dan ekonomi kreatif negara.
Katanya, cara ini turut dilihat mampu menjadi pemangkin pelancongan budaya, sekali gus menyokong secara langsung agenda Tahun Melawat Malaysia 2026 serta visi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Catwalk Tertinggi Dalam Busana Tradisional yang bakal diadakan telahpun memegang dua rekod Kebangsaan, ‘Highest Altitude Observation Deck’ dan ‘Highest Altitude Building Edge Skywalk’ di ketinggian 6,106 kaki oleh Malaysia Book of Records (MBOR) pada 29 April lalu,” ujarnya.
Selain itu, jelas Huda lagi, program Catwalk Batik ini akan menguji keberanian dan keyakinan wanita, selaras dengan penilaian keatas para peserta pertandingan ratu cantik.
“Busana batik eksklusif,menjadikan mereka Duta Batik Malaysia di negara masing-masing. Pertandingan ini dijangka memberi impak besar kepada sektor pelancongan, fesyen dan ekonomi kreatif negara,” ujarnya. – UTUSAN