PUTRAJAYA: Malaysia berupaya menghasilkan dron yang terbukti di medan pertempuran dan perang selepas termeterainya perjanjian strategik pemindahan teknologi antara syarikat DASAL Havacilik Teknolojileri A.S. dari Turki dan PM Defence Sdn Bhd (PMD).

Pengerusi PMD, Datuk Bastien Onn berkata, perjanjian tersebut juga dijangka membuka peluang untuk negara menginovasikan dron pertahanan dan tempur yang mempunyai nilai kebolehpasaran, bersama universiti-universiti tempatan.

“Ini juga merupakan hasrat Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu adanya usaha sama dengan universiti-universiti tempatan semasa pertemuan dengan syarikat-syarikat dari Turki.

“Beliau sangat yakin dengan keupayaan daya fikir negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bastien berkata, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) merupakan universiti pertama yang menjemput pihaknya untuk mengadakan pertemuan.

Katanya, ia sekali gus menunjukkan institusi pendidikan itu yakin dengan peluang tersebut sekali gus membuktikan kecerdasan buatan (AI) dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bergerak seiring.

“Langkah ini dalam memastikan keupayaan daya fikir dan bidang penghasilan teknologi tinggi dalam industri dron negara,” katanya.

Tambahnya, penghasilan dron tempatan yang terbuti di medan tempur dan perang memberi akses yang diperlukan kepada keupayaan pertahanan dan keselamatan negara dalam penggunaan teknologi dron.

DASAL merupakan sebuah syarikat pertahanan yang pakar dalam pembangunan sistem dron pelbagai guna yang telah terbukti keberkesanannya di medan perang. – UTUSAN