Periksa simptom awal HFMD, elak penularan lebih meluas

Periksa simptom awal HFMD, elak penularan lebih meluas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ibu bapa disaran memeriksa simptom awal penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) anak-anak bagi mengelakkan penularan penyakit itu lebih meluas khususnya di taska, tadika dan sekolah.

Pakar Kesihatan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, HFMD merupakan jangkitan yang sangat mudah merebak dan sering berlaku dalam kalangan kanak-kanak kerana mereka tergolong dalam kumpulan paling berisiko.

Katanya, penyakit itu lazim menular di kawasan kediaman, sekolah serta institusi pendidikan awal kanak-kanak sekiranya aspek kebersihan dan penjagaan kesihatan diabaikan.

“Justeru, ibu bapa dan penjaga perlu memberi perhatian kepada tanda-tanda awal HFMD seperti ruam, demam, sakit mulut serta hilang selera makan.

“Sekiranya simptom ini dikesan di sekolah, murid berkenaan perlu diasingkan serta dielakkan daripada bergaul dengan pelajar lain bagi mencegah penularan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Semalam, sebanyak 99,601 kes HFMD dilaporkan di seluruh negara tahun ini sehingga minggu epidemiologi (ME) ke-17 berakhir 26 April lalu, menunjukkan peningkatan sebanyak 266 peratus berbanding 27,236 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Mengulas lanjut, Sharifa berkata, pemantauan dan penjagaan kesihatan yang rapi juga perlu dilaksanakan di rumah sekiranya ada anak yang dijangkiti penyakit berkenaan.

Katanya, ibu bapa perlu memastikan anak yang dijangkiti tidak bercampur dengan adik-beradik lain selain diberikan cuti khas untuk menjaga mereka.

“Anak yang dijangkiti perlu dijaga secara berasingan dan tidak dibawa ke tempat awam bagi mengelakkan penyebaran lebih meluas. Ini termasuklah mengelakkan sebarang bentuk kontak rapat dengan kanak-kanak lain yang masih sihat.

“Dalam situasi sebegini, ibu atau bapa perlu diberikan cuti khas supaya mereka dapat memberikan penjagaan penuh kepada anak yang menghidap penyakit berjangkit itu,” katanya.

Difahamkan, antara virus yang biasa menyebabkan HFMD termasuklah Coxsackievirus A16, Coxsackievirus A6 dan Enterovirus 71 (EV-A71) yang sering dikenal pasti di negara-negara Asia Timur dan Asia Tenggara. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN